MITI Tidak Diskriminasi Usahawan Di Negeri Pembangkang

Diterbitkan: Ahad, 13 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kerajaan tidak mengamal diskriminasi dalam soal pemberian bantuan dan kemudahan kepada usahawan di negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang, kata Timbalan Menteri Perdangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Mukhriz Mahathir.

Katanya, pihaknya tidak membezakan produk keluaran usahawan dalam kempen mempromosikan produk tempatan kepada pelabur asing.

Menurutnya, semasa kempen promosi, kementeriannya tidak meminta pelabur asing untuk pergi ke negeri-negeri tertentu sahaja malah terpulang kepada pelabur berkenaan untuk membuat pilihan.

"Jika pelabur asing memilih negeri pembangkang, Miti akan terus memberi khidmat nasihat yang diperlukan dan mengatur perbincangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Program Mini Showcase Groom Big' Zon Utara di sini semalam.

Selain itu, katanya, kerajaan tidak memilih kasih malah sesiapa sahaja yang menceburi bidang keusahawanan layak menerima pelbagai bentuk bantuan yang disediakan.

Mukhriz berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), kerajaan telah memberi jaminan akan terus menyokong pembangunan usahawan terutamanya industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk berkembang sehingga ke peringkat global.

Beliau berkata, kerajaan kini lebih cenderung kepada memberi pinjaman mudah kepada golongan usahawan kerana bantuan itu diberikan pada kadar yang begitu menarik dan lebih baik daripada pinjaman bank komersial.

Mukhriz juga turut menyarankan supaya usahawan PKS di Zon Utara terutamanya yang berhampiran dengan Thailand menerokai pasaran negara jiran itu dan melihat apa yang mereka perlukan supaya usahawan Malaysia dapat membekalkan produk kepada mereka.

"Kita tahu selatan Thailand adalah antara pengeluar produk makanan yang agak besar dan sudah tentu mereka perlukan ramuan-ramuan tertentu yang mungkin ada di negera kita ini, jadi kita boleh bekalkan kepada mereka.

"Ada juga produk-produk mereka yang boleh kita bawa masuk ke sini sebagai ramuan juga dan ini akan meluaskan lagi pasaran," katanya.

Katanya, beliau memang menggalakkan supaya hubungan antara PKS tempatan dan PKS asing dipertingkatkan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan