MBE Akan Diperjelaskan Pada Mesyuarat ILO Di Geneva

Diterbitkan: Ahad, 13 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam dijangka berkongsi pandangan mengenai Model Baru Ekonomi Malaysia dengan negara anggota Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada sesi ke-99 Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva, Switzerland.

Dr Subramaniam yang berlepas hari ini untuk menghadiri persidangan antarabangsa anjuran ILO bermula esok, akan menjelaskan kepada negara anggota ILO mengenai usaha kerajaan Malaysia untuk menggerakkan ekonomi ke tahap lebih tinggi melalui pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kata setiausaha akhbar menteri itu, E.Sivabalan dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya Dr Subramaniam dijangka akan memberikan penjelasan panjang lebar mengenai satu daripada teras di bawah MBE iaitu menarik modal insan berkemahiran dari seluruh negara, termasuk warga Malaysia yang bekerja di luar negara, asalkan mereka boleh menyumbang kepada transformasi Malaysia untuk menjadi ekonomi inovatif dan berpendapatan tinggi.

Persidangan itu menghimpunkan menteri-menteri buruh serta perwakilan yang mewakili majikan dan pekerja dari setiap negara anggota.

Agenda persidangan pada tahun ini termasuk tugas pembantu rumah, HIV/AIDS dalam dunia pekerjaan, perbincangan mengenai objektif startegik penggajian dan semakan Deklarasi Prinsip Asas dan Hak di Tempat Kerja 1998.

Dr Subramaniam dijadual pulang ke tanah air pada 19 Jun, kata Sivabalan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan