Kayveas Akan Lepas Jawatan Pada 2014

Diterbitkan: Ahad, 13 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas hari ini membayangkan bahawa ini merupakan penggal terakhirnya sebagai presiden parti dan akan menyerahkan kepimpinan parti itu kepada pemimpin lebih muda apabila penggalnya berakhir pada 2014 kelak.

"Saya akan melepaskan jawatan dalam tempoh tiga hingga lima tahun dari sekarang demi kepentingan parti dan bagi memberi ruang kepada pemimpin baru menerajui parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung PPP Selangor 2010 di Subang Jaya hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta anggota PPP bersedia dengan calon berkaliber untuk diangkat sebagai pemimpin bagi menerajui parti serta menentukan proses peralihan dilakukan dengan lancar tanpa timbul sebarang perpecahan dalam parti.

Kayveas, 56, menang tanpa bertanding sebagai presiden PPP pada mesyuarat agung parti pada Mei tahun lepas. Ini merupakan penggal keempat berturut-turut Kayveas menyandang jawatan itu.

Kayveas berkata beliau akan memberi peluang kepada lebih ramai pemimpin muda dalam parti itu bersuara dalam mesyuarat agung tahunan parti yang akan diadakan pada 19 Jun ini.

"Kita jangan hanya tertumpu pada ketua bahagian sahaja untuk bersuara... anggota lain juga perlu proaktif dan diberi peluang untuk bersuara kerana daripada situ kita akan tahu apa perubahan yang mereka mahukan," katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz, yang juga Naib Presiden PPP. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan