Isu TPM Bukan Melayu Hanya Sensasi Media Bukan Anwar, Kata Mustafa

Diterbitkan: Ahad, 13 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: PAS menyifatkan isu berhubung cadangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik seorang bukan Melayu sebagai Timbalan Perdana Menteri hanyalah sensasi yang digembar-gemburkan pihak media.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata sebenarnya pakatan PAS-DAP-PKR tidak pernah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.

Berucap ketika menggulung perbahasan usul pada muktamar PAS ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di sini hari ini, beliau meminta semua pihak terutamanya media agar tidak mempolemikkan isu berkenaan bagi mengelirukan rakyat.

Beliau berkata sebarang perkara mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri daripada kalangan bukan Melayu perlu mendapat persetujuan secara kolektif antara parti komponen pakatan pembangkang.

Semalam, perwakilan dari Johor, Atan Gombang meminta kepimpinan PAS Pusat supaya menjelaskan pendirian parti itu berhubung cadangan Anwar untuk melantik bukan Melayu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Mustafa berkata isu berkenaan tidak pernah dibincangkan dan perkara itu dapat dibuktikan kerana pimpinan tertinggi pakatan pembangkang akan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk menyelaras setiap tindakan yang akan diambil.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata pakatan pembangkang di Selangor dan Kedah di ambang kejatuhan pada pilihan raya umum ke-13 nanti jika mereka gagal meningkatkan pendaftaran pengundi muda bagi mengekalkan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Beliau berkata keputusan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang menyaksikan kekalahan calon PKR menunjukkan kemerosotan sokongan masyarakat Melayu dan India yang begitu membimbangkan.

Katanya pada pilihan raya kecil itu, sokongan kepada pakatan pembangkang merosot iaitu enam peratus undi Melayu dan 10 peratus undi India.

"Jika kita tidak daftar pengundi muda sehingga pilihan raya umum ke-13, Selangor di ambang kejatuhan dan PAS di Selangor hanya boleh menang dua kerusi saja," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan