PAS P.Pinang Mahu Pembahagian Kerusi Dikaji - Berita Semasa | mStar

PAS P.Pinang Mahu Pembahagian Kerusi Dikaji

Diterbitkan: Sabtu, 12 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: PAS Pulau Pinang menuntut supaya status quo pembahagian kerusi yang dipersetujui bersama Pakatan Rakyat di negeri itu dikaji semula bagi membolehkan lebih banyak calon parti itu bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Gesaan berkenaan dibuat oleh perwakilan negeri itu, Rosidi Husin yang mahu supaya pimpinan PAS Pusat membincangkan perkara berkenaan di peringkat Majlis Pakatan Rakyat.

"Kami mahu supaya pimpinan memberi keutamaan kepada Pulau Pinang kerana Pakatan Rakyat hanya diwujudkan selepas pilihan raya 2008.

"Jadi status quo pembahagian kerusi sebelum ini bukanlah syarat utama, oleh itu kami harap pimpinan pusat bawa perkara ini agar PAS boleh bertanding di Pulau Pinang lebih banyak bagi kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen," katanya pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahuan PAS ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata, PAS sebagai salah satu komponen dalam Pakatan Rakyat bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP perlu memainkan peranan yang sebaik mungkin bagi menggerakkan kerjasama berkenaan.

Menurutnya, Majlis Pakatan Rakyat perlu diperkasakan bagi mengelakkan wujudnya syak wasangka di peringkat akar umbi antara ketiga-tiga parti.

"Kita mesti memperkasakan Majlis Pakatan Rakyat, saya minta supaya mesyuarat majlis ini diadakan dengan lebih kerap di peringkat negeri.

"Bila tak ada mesyuarat, akan wujud banyak syak wasangka yang tak baik antara parti dalam Pakatan Rakyat," katanya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan