Jangan Ghairah Raih Undi Bukan Islam - Perwakilan PAS

Diterbitkan: Sabtu, 12 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: PAS diingatkan supaya tidak ghairah meraih undi di kalangan pengundi bukan Islam hingga mengabaikan pengundi tradisi yang selama ini menyokong parti itu jika mahu terus mendapat sokongan di kalangan rakyat.

Perwakilan Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sikap berlebihan serta terlalu mengagung-agungkan penyokong bukan Islam merupakan satu kesilapan yang perlu diperbetulkan.

"Dalam keghairahan kita untuk menarik pengundi bukan Islam, saya nak ingatkan agar tidak melupakan pengundi tradisi kita.

"Tindakan atau dasar kita perlu dipastikan agar tidak melukakan hati pengundi asal," katanya ketika membahasakan Ucapan Dasar Presiden pada sesi perbahasan Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Pusat Tarbiah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada sayap baru parti itu yang dinamakan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dirasmikan bulan lalu.

DHPP dinaik taraf daripada Kelab Penyokong PAS (KPP) yang dianggotai oleh penyokong bukan Islam.

Selain itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan berkata, hingga kini masih terdapat ahlinya yang masih keliru dengan dasar dan perjuangan PAS kini terutamanya selepas terbentuknya DHPP.

"Parti perlu memberi penjelasan dan hilangkan kekeliruan yang timbul ekoran dasar keterbukaan yang diamalkan PAS hari in.

"Kalau kita tak boleh bawa isu ini dengan baik dan mantap, kita akan hadapi masalah besar pada pilihan raya akan datang," katanya.

Beliau berkata kesilapan mengabaikan pengundi yang selama ini menyokong PAS hanya akan memberi peluang kepada pihak lawan menggunakan isu berkenaan bagi meraih sokongan.

"Saya tak nak kita buat silap dengan memberi peluru dan senjata kepada musuh.

"Sama juga dalam hal rumah tangga, kalau kita ada isteri muda, jangan lupa kepada isteri muda... buruk-buruk pun dia tetap isteri pertama kita," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan