Ribut Ranapkan 13 Rumah Di Mergong - Berita Semasa | mStar

Ribut Ranapkan 13 Rumah Di Mergong

Diterbitkan: Jumaat, 11 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Ribut melanda kawasan Perumahan Awam Taman Wira Mergong dekat sini tengah hari tadi menyebabkan bumbung 13 unit rumah di Blok C rosak diterbangkan angin.

Yang turut diterbangkan angin ialah bumbung garaj para penghuni.

Kejadian ribut tersebut dikatakan kali kedua berlaku sejak pertama kali berlaku sekitar akhir 90-an.

"Saya terlihat angin berpusing dengan kuat dan laju. Apabila kami sekeluarga balik ke rumah, kami mendapati bumbung rumah kami sudah diterbangkan angin," kata Chong Fat Keong, 62. Semasa kejadian, beliau dan keluarganya berada di gerainya yang terletak di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan itu.

"Hanya bumbung rumah saya sahaja yang diterbangkan ribut manakala barang-barang lain tidak terjejas," katanya.

Nabihar Osman, 62, pula sedang memasak ketika ribut melanda.

"Saya terdengar bunyi kuat dari arah bumbung dan kemudian anak saya menjerit supaya kami berlindung di bawah meja.

"Pada masa yang sama, suami saya yang sedang menonton televisyen di ruang tamu membuka pintu dan terlihat angin kuat seperti puting beliung berpusing-pusing.

"Nasib baik ribut hanya menerbangkan bumbung garaj kereta kami," katanya. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan