Nasharuddin Tak Mahu Gambarnya Di Poster - Hadi

Diterbitkan: Jumaat, 11 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: "Ustaz Nasharuddin pun tak nak gambarnya diletakkan di poster," demikian kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika diminta mengulas mengenai ketiadaan gambar Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dipamerkan pada poster atau kain pemidang sempena muktamar itu.

Jawapan spontan Abdul Hadi bagi pihak Nasharuddin itu sekali gus menafikan desas-desus yang mengatakan bahawa Ahli Parlimen Bachok itu tidak diterima di Kelantan.

Persoalan berkenaan dibangkitkan oleh perwakilan Dewan Ulama PAS yang bermuktamar semalam berhubung ketiadaan gambar Nasharuddin.

Ia ekoran latar belakang pentas pada muktamar setiap dewan dan kain-kain rentang yang menghiasi muktamar kali ini hanya meletakkan gambar Abdul Hadi dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz selain gambar ketua ketiga-tiga sayap parti itu.

Nasharuddin sendiri yang turut berada pada sidang media selepas majlis perasmian Muktamar PAS ke-56 hari ini bagaimanapun sekadar tersenyum tanpa memberi sebarang penjelasan.

Dalam pada itu, Abdul Hadi ketika ditanya berhubung terdapat beberapa kenyataan bahawa beliau dan timbalannya itu 'tidak serasi' dan renggang, beliau bagaimanapun menafikannya.

"Kalau tak ada ustaz Nasharuddin, tak adalah saya," katanya sambil berseloloh.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan