RMK10 - Modal Insan

Diterbitkan: Khamis, 10 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan yang cemerlang diberikan tumpuan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi membolehkan Malaysia bersaing di peringkat global dan memacu ekonomi yang diterajui inovasi bagi menjayakan transformasi ke arah negara perpendapatan tinggi.

Menurut laporan RMK-10 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan akan melakukan pembaharuan secara komprehensif ke atas kitaran pembangunan modal insan bermula di peringkat awal kanak-kanak sehingga ke alam pekerjaan.

Dalam konteks ini, latihan kemahiran akan diberikan penekanan utama di bawah RMK-10 bagi memastikan Malaysia mempunyai modal insan yang memenuhi keperluan industri dan memacu peningkatan produktviti bagi membolehkan industri beralih ke rantaian nilai lebih tinggi.

Laporan itu menyatakan pendidikan teknikal akan diarusperdanakan dan ditingkatkan kualiti kelulusannya dan langkah itu penting bagi menyediakan individu merealisasikan potensi mereka sepenuhnya berdasarkan kecenderungan dan bakat masing-masing.

Kerajaan juga akan memperluas program latihan sambil bekerja melalui Sistem Latihan Dual Nasional dan juga program latihan industri di mana latihan insaniah dan penempatan pekerja akan disediakan untuk siswazah menganggur.

Pada masa yang sama, inisiatif akan diambil untuk memupuk modal insan terbaik bagi menyokong sektor ekonomi yang mempunyai nilai ditambah tinggi dan berasaskan pengetahuan dan inisiatif itu termasuk penubuhan sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa berprestij kepada pelajar cemerlang berasaskan merit, menurut laporan itu.

Selain melahirkan modal insan berkemahiran, tumpuan juga akan diberikan kepada usaha untuk menarik dan mengekalkan modal insan cemerlang termasuk melibatkan diaspora Malaysia dan dalam konteks ini, Talent Corporation (TC) akan ditubuhkan pada 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan mandat untuk menarik, memotivasi dan mengekalkan modal insan berkemahiran yang diperlukan bagi mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.

Menurut laporan itu, TC akan mempunyai tiga peranan utama iaitu pertamanya sebagai pemangkin di mana TC akan meneraju dan memacu inisiatif dalam usaha untuk menarik dan membangunkan modal insan berkepakaran bertaraf dunia melalui kerjasama sektor awam dan swasta.

Keduanya ialah sebagai pemudah cara iaitu TC akan membantu industri dan sektor swasta dalam mewujud, memotivasi dan mengekalkan modal insan berkemahiran.

Ketiganya sebagai penyampai iaitu TC akan bertanggungjawab memastikan inisiatif utama negara tentang pembangunan modal insan di semua peringkat dilaksanakan bagi membangunkan dan mengekalkan modal insan berkepakaran di Malaysia dan menangani halangan dalam pembangunan modal insan berkepakaran.

TC dengan kerjasama sektor awam dan swasta akan membangunkan Rangka Tindakan Modal Insan Berkemahiran Kebangsaan yang bersepadu pada 2011 dan rangka tindakan itu akan menyediakan analisis menyeluruh bagi menangani isu modal insan daripada peringkat prasekolah hingga persaraan dan akan dipacu oleh permintaan dengan kerjasama industri bagi memastikan kesesuaiannya dengan keperluan pasaran dan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Rangka tindakan itu akan mengandungi maklumat terperinci mengenai keseluruhan peringkat pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan sektor yang diberi keutamaan dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), jurang permintaan dan penawaran modal insan semasa dan pada masa akan datang serta portfolio inisiatif bersepadu untuk memastikan program dilaksana dan ditadbir urus dengan baik.

TC akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan perwakilan Malaysia untuk merancang dan melaksanakan strategi untuk menarik modal insan asing dan diaspora ke Malaysia, terutama siswazah dari universiti terkemuka dunia.

Selain itu, program seperti Program Menggalak Warganegara Malaysia yang Berkepakaran yang Bekerja Di Luar Malaysia Pulang Ke Malaysia dan Program Brain Gain akan digabungkan dan diperkukuhkan di bawah TC.

Untuk meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi modal insan berkepakaran tinggi, kerajaan juga akan menambahbaik prosedur semasa penggajian modal insan berkepakaran dari luar negara dengan mengurangkan kesulitan peringkat pemprosesan dengan amalan semasa akan dikaji semula dan diselaraskan.

Selain itu, insentif dan suasana pekerjaan juga akan ditambah baik sebagai langkah meningkatkan lagi daya tarikan kepada modal asing berkepakaran, termasuk membenarkan modal insan asing berkepakaran bertukar kerja dengan persetujuan majikan, membawa pembantu rumah asing serta kebenaran kepada pasangan untuk bekerja walaupun masih memegang pas tanggungan.

Kualiti hidup sesebuah bandar merupakan faktor utama bagi modal insan berkepakaran di peringkat global memilih destinasi untuk tinggal dan bekerja dan bagi menarik modal insan berkemahiran dari luar negara, Kuala Lumpur akan digambarkan sebagai sebuah bandar raya bagi mereka yang mengutamakan kualiti dan kepelbagaian gaya hidup, bercirikan alam semula jadi, kaya dengan budaya dan metropolis moden dengan infrastruktur canggih.

Bagi melibatkan diaspora Malaysia secara aktif, satu pangkalan data mengenai mereka yang lengkap mengandungi maklumat seperti pakar dalam sektor ekonomi utama dan latar belakang kemahiran akan diwujudkan dan diselenggara supaya mereka dilibatkan dalam bidang bersesuaian.

Selain itu, anugerah dan acara yang bersesuaian akan diwujudkan untuk mengiktiraf dan meraikan pencapaian penting ahli komuniti diaspora Malaysia, dan persatuan diaspora Malaysia akan diwujudkan bagi menyediakan peluang rangkaian melalui saluran dalam talian serta pertemuan bersemuka. - BERNAMA

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan