Rumah Ibadat Yang Dibeli Hasil Sumbangan Ramai Kini Dijadikan 'Kelab Eksklusif'

Diterbitkan: Rabu, 9 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sebuah banglo yang dibeli pada harga RM2.3 juta hasil kutipan derma orang-ramai di sebuah kawasan hijau di Kajang sepatutnya menjadi sebuah tempat beribadat dan meditasi kepada penganut agama Buddha.

Bagaimanapun kini perkara sebaliknya berlaku apabila mereka yang pernah menyumbang kepada pembinaan rumah ibadat itu mendakwa yang banglo berkenaan telah dijadikan sebagai kelab persendirian yang eksklusif dan hanya dibuka kepada lebih 30 orang ahlinya sahaja.

Hasil tinjauan yang dijalankan oleh akhbar The Star mendapati, ramai penganut agama Buddha yang menyumbang untuk rumah ibadat tersebut telah menghantar memorandum mendesak supaya ia dibuka kepada awam semula.

Namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil. Petisyen berkenaan kini dipaparkan di sebuah laman web yang dibina oleh beberapa pelajar universiti yang pernah bekerja sebagai sukarelawan di tempat berkenaan.

Menurut pelajar-pelajar itu, rumah ibadat berkenaan telah ditutup kepada orang awam sejak Oktober 2006 sebaik paderi yang menubuhkannya berhenti berkhidmat.

Dalam entri terbaru yang dipaparkan pada 29 Mei yang lalu menunjukkan beberapa keping gambar yang diambil daripada luar pagar banglo berkenaan. Turut kelihatan ialah sebuah kamera litar tutup yang dipasang di kediaman tersebut.

Adalah difahamkan beberapa orang sami kini bermastautin di banglo itu.

Ketika dihubungi, salah seorang daripada sami berkenaan seperti dalam keadaan teragak-agak untuk memberikan penjelasan.

Dia mendakwa bahawa kehadiran mereka di sana adalah bagi membuat persiapan mengenai sambutan Hari Wesak baru-baru ini.

“Kami mempunyai kerja yang kami perlu lakukan di sini,” kata sami yang enggan mendedahkan namanya itu.

Dalam pada itu, seorang sukarelawan yang pernah menyelaras aktiviti di pusat berkenaan berkata, beliau sedih dengan apa yang terjadi pada pusat itu hari ini.

“Kami antara kumpulan terawal yang memulakan usaha untuk mewujudkan tempat ibadat ini. Penganut agama Buddha di sini telah mengutip derma untuk membeli tanah untuk membina banglo berkenaan,” katanya.

Menurut bekas sukarelawan itu lagi, banglo tersebut terletak di atas sebidang tanah dengan keluasan 1.8 hektar yang dibeli daripada seorang pemaju dengan harga RM2.3 juta dengan 50 penjamin.

Bayaran tersebut dijelaskan sepenuhnya pada tahun 2004.

Sementara itu, daripada maklumat yang diperolehi daripada laman web berkenaan turut mendedahkan bahawa pusat ibadat itu mempunyai lima bidang tanah di tempat lain.

Selepas penilaian hartanah dijalankan, sukarelawan itu berkata hartanah yang dimiliki itu bernilai RM10.8 juta.

Daripada laporan berita yang pernah dilaporkan sebelum ini, pusat berkenaan mempunyai 100 sukarelawan dan ia berjaya mengumpulkan lebih 10,000 penganut agama Buddha pada upacara keagamaan atau majlis yang diadakan.

Menurut laporan akhbar tahun lepas, seorang rakyat Hong Kong pernah mendermakan RM100,000 kepada pusat itu. Pada mesyuarat agung tahunannya pada tahun 2008, ahli-ahli persatuan itu telah meluluskan satu resolusi bahawa mereka tidak akan menggunakan khidmat juruaudit luar untuk mengaudit akaun mereka.

Sukarelawan itu mendakwa, pada awal tahun 2001, sami di kuil berkenaan mempunyai ramai pengikut kerana tempat itu menumpukan kepada aktiviti memberi khidmat masyarakat.

Bagaimanapun, dia mendakwa keadaan mula berubah apabila sami di kuil tersebut mengamalkan budaya berpuak-puak di kalangan sami yang sedia ada.

“Lebih memeranjatkan apabila ada beberapa sami di kuil ini mengambil patung-patung Buddha dan peralatan seperti pembesar suara dan menggantikannya dengan peralatan gimnasium,” katanya.

Namun selepas itu, beberapa penganut Buddha di kuil berkenaan telah membuat laporan polis tentang pecah amanah yang dilakukan. Malangnya, mereka telah diganggu oleh sami-sami berkenaan.

Dalam pada itu, Persatuan Buddhist Malaysia berkata mereka sememangnya sedia maklum mengenai aduan yang dibuat oleh ahli-ahli berhubung kepincangan yang berlaku dalam rumah ibadat tersebut.

“Kami kini telah menyerahkan perkara ini kepada barisan peguam kami untuk menyiasat,” kata seorang pegawai.

Penganut Buddha di kawasan perumahan tersebut turut membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ditanya mengenai pusat berkenaan, Pendaftar ROS, Datuk Mohd Alias Kalil berkata, beliau bersetuju bahawa mana-mana tempat ibadat sepatutnya terbuka kepada orang awam walaupun dalam kes ini undang-undang tubuh persatuan berkenaan mensyaratkan yang ia hanya dibuka kepada ahli-ahli sahaja.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan