Pimpinan Pas Kelantan Masih Mahu Nik Aziz Terus Terajui Negeri

Diterbitkan: Rabu, 9 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Peranan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih diperlukan sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum ke-13.

Timbalan Pesuruhjaya PAS III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pentadbiran kerajaan negeri itu masih memerlukan kepimpinan dan ketokohan Nik Abdul Aziz.

"Kami di Kelantan masih berharap agar Tok Guru (Nik Abdul Aziz) kekal (sebagi Menteri Besar).

"Rakyat Kelantan amat memerlukan ketokohan Tok Guru... Jadi kami harap sangat agar Tok Guru terus menerajui Kelantan sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kemungkinan Nik Abdul Aziz yang menerajui Kelantan sejak 1990 bakal membuat kejutan dengan mengumumkan persaraannya dalam politik pada Muktamar PAS kali ini.

Nik Abdul Aziz sebelum ini juga pernah membayangkan bahawa beliau akan mewariskan kepimpinan di negeri itu berdasarkan hirarki kedudukannya sekarang.

Antara yang disebut-sebut layak memikul tanggungjawab berkenaan ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Selain Ahmad, dua lagi nama yang sering disebut-sebut mungkin dipilih menggantikan Nik Abdul Aziz ialah Mohd Amar sendiri dan seorang lagi Exco Kelantan iaitu Datuk Husam Musa.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, beliau yakin Nik Abdul Aziz tidak akan membuat sebarang kenyataan yang mengejutkan pada muktamar kali ini.

"Saya yakin Tok Guru tak akan umum (persaraan), masih banyak tanggungjawab yang beliau ingin laksanakan.

"Malah kami di Kelantan juga tak dengar sebarang spekulasi mengenai itu," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan