Kerajaan Jamin Tidak Ketepi Aspek Kebudayaan Setempat Di Little India

Diterbitkan: Rabu, 9 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembangunan projek "Little India" di Brickfields tidak akan menghapuskan aspek kebudayaan setempat seperti warisan Inggeris, Cina dan Buddha yang telah wujud sekian lama di kawasan itu.

"Bangunan, arca, perabot jalanan serta gerai tidak akan mengetepikan aspek kebudayaan setempat meskipun penekanannya adalah kepada aspek-aspek kebudayaan India," kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata, pembangunan di Brickfields bukan sahaja akan dinikmati masyarakat India malah akan menjadi pemacu ekonomi kepada kawasan sekitarnya seperti Lembah Pantai, Seputeh dan Bangsar.

Walaupun projek ini dibangunkan khas untuk peniaga India, kaum lain juga dijemput untuk menjalankan perniagaan di Little India kelak, katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Little India, di sini hari ini.

Projek itu akan dibangunkan oleh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) melibatkan kawasan dari Jalan Travers hingga Jalan Tun Sambanthan dalam dua fasa melibatkan kos bernilai RM35 juta. Beliau berkata, penghuni kuartes kerajaan di Jalan Rozario dan Jalan Chan Ah Tong adalah antara yang akan menerima kesan positif dari projek itu dan mereka akan dipindahkan ke unit kediaman baru yang bakal didirikan MRCB.

Raja Nong Chik berkata, projek itu juga mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu memenuhi hasrat kerajaan untuk mewujudkan status bandar berkembar di antara Kuala Lumpur dengan Chennai, ibu negeri Tamil Nadu.

"Sehubungan itu, satu perjanjian persefahaman (MoU) akan ditandatangani oleh kedua-dua bandar raya sempena lawatan rasmi Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh ke ibu negara menjelang akhir tahun ini. "MoU itu diharap akan membuka ruang yang lebih luas antara dua negara untuk bertukar kepakaran, kemahiran, serta bidang-bidang lain yang sesuai," katanya.

Beliau berkata, budaya masyarakat Chennai dan Kuala Lumpur mempunyai banyak persamaan kerana majoriti rakyat India di negara ini berasal dari Tamil Nadu, dan ini akan lebih memudahkan pelaksanaan program berkenaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan