72% Penghidap AIDS/HIV Di Malaysia Adalah Umat Islam...

Diterbitkan: Rabu, 9 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Lebih 70 peratus daripada 87,710 penghidap HIV/AIDS di negara ini adalah daripada kalangan umat Islam, kata Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia Datuk Zaman Khan.

Justeru itu katanya, sambutan Hari AIDS Sedunia pada tahun ini akan menekankan kepada usaha-usaha meningkatkan penglibatan umat Islam dalam semua aspek mengenai penyakit itu bagi meningkatkan kesedaran mereka.

Beliau berkata, lebih membimbangkan laporan sesi khas perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGASS) Deklarasi Komitmen mengenai AIDS menyatakan sembilan rakyat negara ini dijangkiti penyakit tersebut setiap hari.

Juga membimbangkan penularan pada kalangan wanita semakin meningkat iaitu daripada 9.5 peratus pada tahun 2000 kepada 20 peratus pada tahun lepas, katanya ketika berucap pada majlis Hari Memperingati AIDS Sedunia 2010 peringkat kebangsaan, di sini malam tadi.

Beliau menambah, pada tahun 2000, punca utama jangkitan pada kalangan wanita adalah menerusi penagihan dadah, namun sejak kebelakangan ini jangkitan menerusi hubungan seks heteroseksual meningkat kepada hampir 30 peratus.

Perkara itu berlaku disebabkan kurangnya keprihatinan dan kerjasama daripada masyarakat untuk melindungi wanita daripada dijangkiti, katanya.

Mengulas mengenai situasi di Terengganu, beliau berkata, sebanyak 315 kes baru telah dilaporkan pada tahun lepas.

Angka itu meletakkan Terengganu di tempat keempat tertinggi selepas Kelantan (596), Pahang (431) dan Selangor (378).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan