Parlimen Lulus Usul Kutuk Serangan Tentera Rejim Israel

Diterbitkan: Selasa, 8 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat semalam sebulat suara meluluskan usul mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza mengakibatkan sembilan aktivis terkorban dan 12 rakyat Malaysia ditahan pada 31 Mei lepas.

Usul yang dibentang pada 11.30 pagi semalam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan setelah perbahasan lebih lima jam oleh wakil kerajaan, pembangkang dan bebas.

Keputusan sebulat suara itu diumumkan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee ketika majoriti Anggota Parlimen berada dalam dewan kecuali mereka yang mempunyai urusan rasmi di luar, termasuk Anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria, yang turut mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza bersama Perdana Global Peace Organisation (PGPO) dengan kapal MV Rachel Corrie.

Dewan Rakyat mempunyai 222 anggota dengan 137 mewakili Barisan Nasional, 77 pembangkang dan lapan anggota Bebas. Pembangkang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (25), DAP (29), Pas (23) dan Bebas (lapan).

Seramai 28 anggota, masing-masing 12 daripada BN dan 14 daripada pakatan pembangkang serta dua anggota Bebas membahaskan usul berkenaan.

Ketika sesi perbahasan setiap anggota Parlimen dibenarkan berbahas selama 10 minit kecuali peruntukan 15 minit diberikan kepada Ketua Pembangkang.

Pengundian dibuat secara mendapatkan suara yang menyatakan "setuju" atau "tidak" dan apabila hanya suara yang bersetuju sahaja kedengaran, Kiandee mengumumkan usul itu dilulus sebulat suara.

Kesemua anggota parlimen yang berada di dalam dewan sama ada yang mewakili kerajaan, pembangkang dan bebas melaungkan perkataan "setuju" sebagai tanda permuafakatan telah dicapai dalam usaha Malaysia menyatakan sokongan terhadap misi kemanusiaan ke Gaza dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel terhadap konvoi bantuan kemanusiaan ke Palestin.

Laungan setuju yang bergemuruh ketika menyatakan sokongan itu membuktikan kerajaan dan pembangkang bersatu hati dalam menangani isu keganasan dan keadilan global.

Usul itu sebagai menyatakan bantahan rakyat Malaysia terhadap tindakan anggota tentera Israel mengepung dan menyerang Flotilla bantuan kemanusiaan ke Gaza seterusnya menahan sukarelawan kapal tersebut termasuk 12 warganegara Malaysia.

Semasa menggulung perbahasan mengenai usul itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia akan berusaha bersama-sama dengan negara-negara sependapat untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan satu resolusi mengutuk tindakan ganas Israel dan membawa pimpinan rejim Israel dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Beliau berkata, sekiranya gagal diambil tindakan, Malaysia akan bekerjasama dengan negara-negara sependapat bagi mendesak supaya satu persidangan sesi khas tergempar perhimpunan agung PBB diadakan bagi mendapatkan nasihat undang-undang daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakan yang dilakukan Israel di kawasan perairan antarabangsa.

Katanya, walaupun semua anggota Parlimen menyatakan kekesalan terhadap kegagalan PBB terutamanya Majlis Keselamatannya yang tidak berfungsi seperti yang diharapkan, Malaysia tetap komited untuk terus berusaha memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Anifah berkata, kerajaan juga akan memperhalusi cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Malaysia bekerjasama dengan Turki untuk mengambil tindakan terhadap tentera dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

"Kementerian Luar mengambil maklum akan cadangan ini dan akan meneliti dengan begitu mendalam akan kemungkinan tindakan-tindakan yang boleh diambil. "Penelitian ini perlu lebih-lebih lagi memandangkan Malaysia dan Turki pada masa ini bukan ahli negara Statut Rom kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa," katanya.

Bagaimanpun katanya, Malaysia akan mencari jalan untuk membawa angkatan bersenjata Israel yang telah menceroboh kapal Turki Mavi Marmara dan membunuh sembilan aktivis, dengan mencadangkan kepada negara itu supaya mengemukakan perkara tersebut kepada Majlis Keselamatan PBB untuk dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Sesi pengulungan juga sedikit panas apabila Anifah sempat membidas tindakan beberapa anggota Parlimen pembangkang yang cuba memanipulasi isu untuk menjadikannya sensasi bagi kepentingan politik.

"Saya juga ingin menyangkal tuduhan yang tidak berasas oleh Yang Berhormat Gombak (Azmin Ali) bahawa Perdana Menteri tidak mengutuk Amerika Syarikat atas tindakan zalim Israel ketika ucapan pembentangan sebentar tadi.

"Dengan jelas Perdana Menteri dalam ucapannya mendesak Amerika Syarikat untuk tampil tanpa sebarang dolak dalik menunaikan tanggungjawab moral terhadap masyarakat antarabangsa sambil mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang dilakukan oleh rejim Israel," katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan Azmin bahawa Barisan Nasional (BN) dan Umno hipokrit dalam membentangkan usul mengutuk Israel kerana melantik Apco Worlwide, yang kononya milik Yahudi.

Anifah kemudiannya meminta Azmin meneliti sebuah laman web www.Apcoworlwide.com bagi melihat sendiri organisasi tersebut sama ada benar ia dimiliki warga Israel.

"Sebagai syarikat perunding komunikasi terbesar di dunia, Apco dimiliki secara bebas dan persendirian, ditubuhkan pada tahun 1994, beribu pejabat di Washington DC, bukannya Israel. Presiden Apco Worlwide adalah wanita warga Amerika Syarikat, bukan rakyat Israel. Hanya tiga daripada 53 ahli AIC syarikat itu berasal dari Israel. Apakah dengan hanya tiga daripada 53 ini menjadikan ia Israel," katanya.

Beliau berkata, tuduhan Datuk Kamarudin Jaafar (Pas-Tumpat) dan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) bahawa Konsul Malaysia di Istanbul, Turki tidak bersungguh-sungguh membantu sukarelawan-sukarelawan tersebut ketika berada di bandar raya itu, adalah tidak tepat kerana kerajaan telah berbincang secara sulit dengan pihak yang sehaluan dan sependapat dengan Malaysia mengenai cara untuk membantu sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini termasuk pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan ketika itu.

"Ingin saya katakan di sini bahawa sebagai Menteri Luar, saya telah berhubung dengan pihak-pihak tertentu di Turki supaya membantu sukarelawan-sukarelawan kita apabila mereka menghadapi kesulitan dan ancaman daripada pihak rejim zionis," katanya dan menambah tuduhan bahawa kerajaan tidak membantu Flotilla yang menghadapi kesukaran sebelum belayar juga merupakan satu tuduhan yang liar.

Suasana juga tegang apabila Mahfuz tidak berpuas hati dengan penjelasan Anifah berhubung hubungan dagangan Malaysia dengan Israel kerana katanya disebalik kutukan yang dibuat Malaysia pada kali terakhir pada Mei lalu, telah mengeksport minyak sawit ke Israel yang mana perdagangan tersebut dakwanya telah bermula sejak tahun 1996 lagi.

"Yang Berhormat jangan sensitif sangat, saya dah kata saya akan tanya secara ikhlas kepada menteri berkenaan. Saya katakan tadi, ada soalan-soalan yang saya tak dapat jawab ketika ini, ada soalan yang akan saya jawab secara bertulis...kenapa perlu sensitif, kalau perlu kepada Perdana Menteri pun saya akan tanya juga," katanya.

Sambil menghargai semua pandangan yang diberikan, Anifah berkata beliau sendiri akan mengutus surat bantahan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton mengenai sikap lepas tangan Amerika Syarikat terhadap tindakan rejim Israel.

Katanya Malaysia juga akan terus menyokong segala usaha masyarakat antarabangsa untuk memastikan keamanan di Gaza dapat dikembalikan.

"Sukacita, usul ini akan dikemukan kepada PBB melalui surat oleh Perdana Menteri dan kerajaan akan mengambil mengambil maklum segala usul yang dikemukan hari ini," katanya.

Persidangan dewan disambung hari ini. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan