Malaysia Tidak Akan Bankrap Seperti Iceland Dan Greece: Najib

Diterbitkan: Selasa, 8 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan Malaysia tidak akan bankrap seperti Iceland dan Greece berikutan kejayaan negara mengekalkan hutang negara pada paras yang terkawal serta langkah-langkah yang diambil bagi mengurangkan kadar hutang.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan akan terus dirancang, dipantau dan dikawal dengan baik dan bertanggungjawab.

"Paras defisit dijangka akan menurun dan paras hutang akan terus terkawal pada jangka masa sederhana dan panjang. Usaha-usaha ini akan membantu memastikan paras hutang dan defisit Kerajaan Persekutuan tidak akan meningkat sehingga menjejaskan kemampuan negara membayar balik hutang," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat, hari ini.

Lim meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan yang telah diambil bagi memastikan Malaysia tidak mengikut jejak langkah Iceland dan Greece, menjadi negara bankrap, dan memerlukan penyelamatan masyarakat serantau atau antarabangsa.

Perdana Menteri berkata jumlah hutang negara berkurangan kepada RM233.92 bilion pada tahun lepas berbanding RM236.18 bilion pada 2008 walaupun peratusannya meningkat sedikit.

Beliau berkata pengurangan itu disebabkan bayaran balik hutang bersih jangka sederhana dan panjang oleh Kerajaan Persekutuan dan sektor swasta yang lebih mengimbangi ambilan bersih yang lebih besar oleh Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK).

"Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat juga menyumbang kepada penurunan hutang luar negara secara keseluruhan. Nisbah khidmat hutang luar negara pada 31 Dis 2009 dianggarkan pada tahap 7.0 peratus, mencerminkan kekukuhan pendapatan eksport untuk membayar tanggungan hutang.

"Nisbah rizab antarabangsa kepada hutang luar jangka pendek lebih daripada mencukupi bagi menampung 4.2 kali hutang luar jangka pendek," katanya.

Najib berkata kerajaan terus melaksanakan pengurusan hutang luar negeri yang berhemat dan pragmatik untuk memudahkan pelbagaian pinjaman luar negeri oleh sektor awam dan swasta dan meminimumkan risiko berkaitan obligasi luar negeri yang besar dan kemampuan khidmat bayaran hutang.

Menurutnya bagi sektor swasta, pinjaman luar negeri hanya dibuat jika perlu, untuk membiayai aktiviti ekonomi yang produktif, yang mampu menjana terimaan tukaran asing untuk membayar balik pinjaman. Perdana Menteri berkata langkah pertama yang diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan hutang luar negara ialah menerusi dasar semasa kerajaan yang mengutamakan pinjaman dalam negeri, yang tidak menyebabkan inflasi.

"Ini memandangkan mudah tunai yang tinggi di pasaran domestik dan kos pinjaman yang lebih murah," tambahnya.

Kedua, menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan, di samping memelihara kedudukan imbangan pembayaran, pengurusan hutang luar negeri yang disokong oleh sistem pengawasan dan pemantauan hutang yang menyeluruh bagi membolehkan pengesanan awal risiko dan kelemahan yang berpunca daripada pendedahan hutang luar negeri secara keseluruhan.

Najib berkata langkah ketiga, yang selaras dengan matlamat konsolidasi kedudukan fisikal secara berperingkat adalah menerusi Bajet 2010 yang memberi penekanan terhadap usaha menambah baik keberkesanan dan kecekapan pendapatan dan perbelanjaan kerajaan.

"Kerajaan sedang mengkaji penstrukturan sistem subsidi bahan api yang merupakan sebahagian besar dalam perbelanjaan tahunan kerajaan," katanya. Keempat, bagi mempertahankan kedudukan fiskal yang berterusan tanpa menjejaskan matlamat pertumbuhan dan pembangunan menyeluruh, kerajaan akan memperhebat program perkongsian sektor awam-swasta dalam beberapa projek berimpak tinggi, termasuk projek jalur lebar berkelajuan tinggi, koridor pembangunan wilayah dan infrastruktur pengangkutan awam.

Langkah kelima yang bertujuan memperkukuh aliran pendapatan, kerajaan sedang berusaha memperkenal cukai barangan dan perkhidmatan (GST)).

Melalui GST, asas pendapatan kerajaan akan diperluas dan sekaligus lebih terlindung daripada perubahan kitaran harga minyak, kata Perdana Menteri.

Najib berkata peratusan hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dari tahun 2004 hingga 2009, kekal terurus dengan purata 34.6 peratus. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan