Hubungan Diplomatik Bukan Jaminan Israel Boleh Didakwa - Tun Mahathir

Diterbitkan: Selasa, 8 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kekejaman Israel tidak akan sampai ke muka pengadilan walaupun negara yang menjadi mangsa mempunyai hubungan diplomatik dengan regim Zionis itu, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, selagi kuasa besar dunia melindungi negara tersebut, sebarang hubungan diplomatik tidak akan memberi apa-apa makna, apatah lagi untuk mengheret regim itu ke muka pengadilan.

"Ini tidak berkesan. Banyak orang mengadakan hubungan dengan Israel. Mereka (Israel) boleh melakukan jenayah tetapi oleh kerana mereka dilindungi oleh kuasa terbesar di dunia, anda tidak boleh heret mereka ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran, "The 10th International Exhibition on Laboratory Instrumentation, Equipment, Automation and Services" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dr.Mahathir menjawab pertanyaan pemberita sama ada kini tiba masanya bagi Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel bagi membolehkannya dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa sekiranya berlaku sebarang kekejaman ke atas warga negara Malaysia.

Dr Mahathir berkata kekejaman Israel ketika ini merupakan sebuah realiti kehidupan dan tidak berkaitan dengan hubungan diplomatik.

Sehubungan itu Dr Mahathir berkata, selagi kuasa dunia Barat tidak diimbangi kuasa Timur, dunia terpaksa menunggu lebih lama lagi untuk melihat ketidakadilan Israel akhirnya ditangani.

"Saya fikir kita terpaksa menunggu 50 tahun lagi bila kuasa Barat dapat diimbangi dengan Timur. Ketika itu, barangkali kita akan lihat perhatian diberikan terhadap ketidakadilan yang dilakukan Israel," katanya.

Ahad lepas askar regim Zionis itu membunuh sembilan aktivis kemanusiaan dan menahan puluhan sukarelawan termasuk 12 rakyat Malaysia di atas kapal Mavi Marmara di perairan antarabangsa ketika kapal itu melakukan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Mavi Marmara merupakan salah satu daripada konvoi beberapa buah kapal yang membawa kira-kira 700 sukarelawan dari 50 buah negara dalam misi itu.

Jumaat lepas, askar Israel menahan kapal MV Rachel Corrie pula yang ditaja Perdana Global Peace Organisation (PGPO) yang merupakan sebahagaian konvoi itu.

Turut berada di atas kapal itu ialah enam sukarelawan Malaysia. Mereka bagaimanapun dibebaskan Sabtu lepas. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan