APCO: Pendengaran Kes Anwar Ditangguhkan

Diterbitkan: Selasa, 8 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, yang bersidang bagi menyiasat dakwaan bahawa APCO dilantik pentadbiran Najib ada hubungan dengan Yahudi, menerima permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar beliau dibolehkan diwakili seorang peguam.

Bagaimanapun panel itu akan mendengar dan menghalusi permohonan Ketua Umum itu kemudian.

Justeru, sesi pendengaran hari ini ditangguhkan ke tarikh baru yang akan ditentukan kemudian.

Perkara itu dimaklumkan oleh Anwar selepas keluar dari dewan mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Hari ini lebih kepada perkara prosedur. Saya meminta kehadiran peguam ketika prosiding dan walaupun ia diterima, tetapi tiada keputusan yang jelas mengenai peranan peguam (yang dilantik).

“Jadi adalah sukar bagi kami untuk meneruskan (prosiding), maka Speaker berbaik hati untuk mengatakan bahawa jawatankuasa memerlukan masa untuk menghalusi perkara ini,” kata Anwar emberita.

Terdahulu, kira-kira 12.30 tengah hari tadi Anwar menghadap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi menjawab dakwaan beliau bahawa firma khidmat runding yang dilantik pentadbiran Najib ada hubungan dengan rejim Yahudi.

APCO didakwa merupakan nadi kepada konsep 1Malaysia, gagasan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, dan 1Israel.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dianggotai wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat boleh mengesyorkan tindakan ‘disiplin’ ke atas Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jika didapati bersalah beliau boleh digantung dari menghadiri sesi Dewan Rakyat. Semalam, Anwar meminta agar panel itu mengadakan sesi pendengaran secara terbuka berbanding amalan semasa secara tertutup.

Selain itu, Anwar juga meminta agar bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenavasan mewakili beliau ketika memberikan keterangan.

Dengan diiringi beberapa wakil rakyat, antaranya Azmin Ali, Chua Tian Chang, Gobind Singh Deo dan Khalid Samad, Anwar kelihatan memasuki bilik Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bersidang, di bangunan Parlimen, kira-kira 12.30 tengah hari.

Dewan Rakyat meluluskan usul untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan yang mengaitkan dasar gagasan 1Malaysia dengan APCO Worldwide, sebuah syarikat perhubungan awam dan strategi yang didakwanya mempunyai kaitan dengan Israel, akhir April lalu.

Sebelum ini, Najib telah menyifatkan keputusan Dewan Rakyat untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan mengelirukan berhubung konsep 1Malaysia dan Apco Worldwide membuktikan BN sentiasa bersikap adil walaupun dengan pembangkang.

Najib berkata BN boleh menggunakan kuasa majoriti di Dewan Rakyat dengan terus menghukum dan menggantung keanggotaan Anwar, tetapi BN mengambil jalan untuk memberi peluang kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk membela diri.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan