Tindakan Israel Penghinaan Terhadap Masyarakat Antarabangsa

Diterbitkan: Isnin, 7 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AMMAN: Seorang aktivis keamanan Malaysia yang berada di kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza, Rachel Corrie yang dirampas oleh Israel di perairan antarabangsa kelmarin, berkata masyarakat antarabangsa sewajarnya merasa malu membiarkan Israel bertindak sewenangnya.

"Ini cukup menghina masyarakat antarabangsa yang kita semua anggotai," kata seorang anggota Pertubuhan Keamanan Perdana Global (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal kepada Bernama sejurus selepas beliau dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel pada semalam.

Beliau bersama lima lagi aktivis Malaysia dibebaskan pada kira-kira 12.20 tengah hari (5.20 ptg waktu Malaysia). Mereka dijadualkan berlepas ke Amman pada 2.00 pagi (waktu tempatan) hari ini dan tiba di Kuala Lumpur 7.25 malam.

Bekas wartawan itu berkata beliau amat kecewa kerana kapal itu tidak dapat belayar hingga ke Gaza, sebuah daerah pantai yang dikepung oleh Israel sejak tiga tahun lepas.

"Saya sungguh berharap di mana-mana, dan dengan apa cara, selepas apa yang berlaku lebih awal terhadap kapal Mavi Marmara (yang diserang oleh Israel), masyarakat antarabangsa akan mengenakan cukup tekanan ke atas Israel hingga mereka membenarkan kami mendapat laluan.

"Bagi kami, laluan memasuki Gaza adalah amat penting kerana ia akan menandakan keretakan kepungan yang membawa kepada keretakan lebih besar," katanya.

Menceritakan kembali peristiwa rampasan kapal itu, beliau berkata mereka di atas kapal itu membayangkan kepada Israel bahawa mereka bertekad untuk meneruskan pelayaran ke Gaza.

Tetapi ini tidak membawa erti bila seramai hingga 50 askar Israel menaiki kapal sebelum memaksanya belayar ke pelabuhan Ashdod di mana mereka diuruskan.

"Walaupun Israel memberi kami minuman, makanan dan sebagainya, mereka tidak melayan kami dengan baik. Awak tahu mengapa? kerana mereka memaksa kami ke tempat mereka. Tidak seorang pun daripada kami mahu ke Ashdod," ujar beliau.

Selain Shamsul Akmar, sukarelawan Malaysia lain ialah Anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria, anggota PGPO Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta dua petugas TV3 Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin.

Sedia menunggu untuk menyambut ketibaan mereka di sempadan Israel-Jordan ialah Duta Besar Malaysia ke Jordan Datuk Abdul Malik Abdul Aziz dan beberapa orang pegawai kedutaan.

Sukarelawan Malaysia itu disertai di atas kapal Rachel Corrie oleh bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Dennis Halliday, Pemenang Anugerah Nobel Mairead Maguire, Derek dan Jenny Graham dari Free Gaza Movement dan pembikin filem dokumentari Fiona Thompson.

Misi bantuan itu ditaja oleh PGPO, sebuah NGO Malaysia.

Kapal itu diberi nama sempena seorang wanita Amerika yang terbunuh oleh jentolak tentera Israel di Semenanjng Gaza pada 2003 ketika memprotes operasi meroboh rumah.

Shamsul Akmar berkata bendera Malaysia dan Ireland dikibarkan separuh tiang sepanjang pelayaran kapal itu sebagai menandakan penghormatan terhadap sembilan aktivis pro-Palestin yang ditembak mati oleh tentera Israel ketika mereka menggempur Mavi Marmara, sebuah kapal Turki, Isnin lepas.

Sementara itu, Chang berkata usaha akan dibuat bagi melaksanakan satu lagi misi bantuan kemanusiaan bertujuan memecahkan sekatan di Gaza.

Bercakap kepada pemberita selepas pembebasannya, beliau berkata Israel tidak harus mengacukan senapang kepada orang yang datang secara aman membawa bekalan yang begitu diperlukan rakyat Palestin.

"Saya fikir inilah masanya bagi setiap orang di dunia untuk menyatakan bahawa mesti ada cara lebih baik bagi menyelesaikan krisis ini (Gaza). Apakah kita harus kekalkan Gaza sebagai penjara terbuka bagi 1.6 juta penduduknya?," soal beliau.

Chang berkata beliau mual dengan pucuk pimpinan Amerika yang meminta aktivis damai tidak melakukan keganasan dalam hendak mencapai hasrat untuk ke Gaza.

"Kami memang tidak bersikap ganas dari awal lagi. Dan kami namakan kapal itu sebagai menghormati aktivis damai Amerika. "Beliau mungkin dilupakan di Amerika tetapi kami harap semangatnya akan hidup berkekalan," kata beliau.

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan