Teks Penuh Usul Kutuk Israel Di Parlimen

Diterbitkan: Isnin, 7 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Berikut ialah teks penuh usul yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini bagi mengutuk serangan kejam tentera rejim Israel ke atas konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Bismillahirrahmanirrahim. Tuan Yang di Pertua,

Pagi ini, dalam dewan yang mulia ini, di tapak istana demokrasi yang berkeramat, kita sama-sama berkumpul dengan satu tekad, satu matlamat dan satu suara tanpa dikekang batas agama, bangsa maupun haluan politik, untuk mengangkat satu isu penting yang bukan sahaja menyentuh hati rakyat Malaysia bahkan majoriti warga antarabangsa.

Dengan izin saya ingin mengungkapkan kata-kata Nelson Mandela yang cukup bermakna "Palestine is the greatest moral issue of our age". Justeru, sebelum berbicara lebih lanjut, seelok-eloknya saya merentet kembali 4 peristiwa besar yang melibatkan salah laku kotor dan busuk oleh Rejim Zionis.

Pertama, sebermula lebih 60 tahun yang lalu, rakyat Palestin terus-terusan dinafikan hak untuk menghirup udara kebebasan di tanah tumpah sendiri. Seawal tragedi Naqbat tahun 1948, penduduk Palestin telah dihalau dari kampung halaman masing-masing secara kejam oleh Israel yang telah buat pertama kali ketika itu memperkenalkan terorisma sebagai kaedah untuk mencapai matlamat mereka. Kedua, sekitar akhir tahun 60-an, selepas apa yang digelar peperangan enam hari, di atas tanah-tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin, didirikan pula penempatan-penempatan haram tanpa rasa bersalah atau segan silu.

Kemudiannya, peristiwa ketiga pada tahun 1982, tentu tidak dapat dilupakan yakni tragedi pembantaian ganas ke atas kanak-kanak, wanita dan mereka yang tidak berdosa di kem pelarian Shabra dan Shatila.

Keempatnya pula, saya yakin masih segar dalam ingatan ramai, akan serangan ketenteraan Rejim Zionis ke atas Wilayah Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, bayi dan warga tua.

Apa yang jelas, tragedi-tragedi itu ternyata lukanya masih lagi bukan sahaja belum sembuh, bahkan kekal, kuning, bernanah di sanubari masyarakat dunia. Kini, tampaknya kesan hirisan itu terus dilukai oleh satu lagi episod tidak berperikemanusiaan. Peristiwa pembunuhan kejam 9 sukarelawan oleh komando Israel tanggal 31 Mei 2010 baru-baru ini pastinya telah menyimbah minyak ke atas api kemarahan masyarakat dunia yang kini marak menyala dan membakar perabung-perabung dada.

Jadinya, demi menyuarakan ketegasan negara tentang peristiwa berdarah yang telah terjadi, saya menyeru ahli-ahli yang berhormat sekalian, bersama sama saya, sepakat, seia sekata, sederap menyampaikan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan oleh Rejim Zionis ini.

Tuan Yang di Pertua, Dengan ini saya mencadangkan mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3), Dewan ini mengambil ketetapan-ketetapan berikut: BAHAWA, Tentera Rejim Zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah menyerang tanpa alasan dalam perairan antarabangsa, konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei 2010. Kejadian itu mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan kepada ahli kumpulan konvoi bantuan kemanusiaan tersebut; BAHAWA, serangan Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan itu merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu; BAHAWA, sentimen yang sama telah pun disampaikan melalui Kenyataan Bersama Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN – Majlis Kerjasama Negara-negara Teluk (GCC) di Singapura pada 1 Jun 2010 yang menyuarakan kutukan keras terhadap tindakan Rejim Zionis Israel ini; BAHAWA, rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian, tiada alasan bagi penggunaan kekerasan yang melampau ke atas kapal misi bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza tersebut; dan BAHAWA, rakyat Malaysia sangat kecewa dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membuat bantahan keras terhadap tindakan ganas Rejim Zionis itu.

Dengan ini dewan mengambil ketetapan seperti berikut: (1) Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Rejim Zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam; (2) Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan tersebut; (3) Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mencela Israel dan bukannya semata-mata membuat kenyataan yang lemah; (4) Memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza;

(5) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat serangan Tentera Rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC); (6) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ); (7) Memohon supaya negara Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC); (8) Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan Tentera Rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak; (9) Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010, supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini; (10) Menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu; (11) Mengalu-alukan tindakan negara Mesir membuka sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan; (12) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghirau dan gentar kepada ancaman Rejim Zionis; (13) Merakamkan penghargaan kepada negara-negara Jordan, Turki, Ireland, Filipina dan juga negara-negara lain yang terlibat dalam usaha-usaha membebaskan rakyat Malaysia yang telah ditahan oleh Rejim Zionis; (14) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat; dan (15) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat. Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang di Pertua kerana membenarkan Dewan yang mulia ini membahaskan isu serangan kejam oleh tentera Rejim Zionis Israel ke atas konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza. Tuan Yang di Pertua, Malaysia, mengecam tindakan kejam tentera Rejim Zionis Israel di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang telah bertindak menyerang konvoi bantuan kemanusiaan Freedom Flotilla di kawasan perairan antarabangsa pada 31 Mei 2010 yang lepas. Malaysia dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melampau dan biadab rejim zionis yang bukan sahaja melanggar norma-norma perundangan antarabangsa tetapi juga tata kelakuan bertamadun. Serangan subuh oleh Tentera Rejim Zionis ini ternyata telah mencabul prinsip kebebasan perairan antarabangsa kerana faktanya tindakan ala kelanunan terhadap Freedom Flotilla ini dilakukan 65 kilometer dari pesisiran pantai Gaza iaitu di luar dari perairan wilayah Israel. Perbuatan durjana ini telah mengakibatkan kehilangan 9 nyawa dan puluhan kecederaan kepada mereka yang sedang menjalankan misi mulia membawa bantuan kemanusiaan kepada ribuan rakyat Gaza. Tidak cukup dengan itu, anggota konvoi ini juga telah diculik dan diperlakukan seperti penjenayah. Mereka diikat berbelas jam tanpa diberi hak secara sewajarnya seperti makanan, minuman, bersolat dan keperluan ke bilik air.

Bagi Malaysia, tiada sebarang alasan untuk mereka bertindak sedemikian terhadap misi yang merentas kepercayaan agama, sempadan bangsa dan fahaman politik.

Tuan Yang di Pertua, Serangan tidak berperikemanusiaan ini telah memperlihatkan sekali lagi kepada masyarakat antarabangsa kekejaman tentera Rejim Zionis yang tidak menghormati kesucian nyawa manusia dan membelakangkan undang-undang antarabangsa. Mereka tanpa rasa bersalah menggunakan kekerasan semasa menawan kapal Mavi Marmara, kepunyaan Turki. Seperti dilaporkan, 9 orang yang terkorban itu telah ditembak dari jarak dekat dan apa yang lebih menyayat hati, ada yang ditembak dari arah belakang. Ini mempamerkan sikap pengecut yang tidak dapat dimaafkan. Untuk makluman sidang Dewan yang mulia ini, semalam saya berpeluang mendengar sendiri daripada mulut 12 orang rakyat Malaysia yang terlibat akan detik-detik cemas dilalui mereka semasa serangan sedang berlangsung. Saya telah dimaklumkan bahawa mereka telah turut didera secara mental semasa dalam tahanan.

Dalam hal ini, kerajaan berasa bangga walaupun Malaysia sederhana dari segi saiz namun terbukti kita tidak sekali-kali berjiwa kerdil bahkan memiliki semangat kental yang menggunung lagi membumbung di medan juang. Sesungguhnya, kerajaan telah mengambil segala tindakan yang wajar dan perlu bagi memungkinkan kebebasan para sukarelawan negara termasuklah dengan menghantar YB. Dato’ Seri Anifah Aman, Menteri Luar ke Jordan. Tahniah kepada Kementerian Luar Negeri. Lantaran itu, saya, bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia ingin menegaskan bahawa kumpulan 12 ini bukannya penjenayah mahupun penceroboh sebaliknya mereka adalah wira-wira Malaysia. Sesungguhnya keberanian kumpulan 12 ini yang sanggup menghadapi bahaya muncung senjata demi matlamat dan prinsip yang tulus murni akan suatu hari nanti tersepuh dengan tinta emas dalam susur galur sejarah negara. Hakikatnya, kita mengiktiraf mereka semua sebagai pejuang kebebasan sejati yang amat dibanggakan.

Tuan Yang di Pertua, Kita tahu benar, sekiranya perbuatan yang sama dilakukan oleh negara lain, nescaya negara tersebut akan dikenakan pelbagai tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ini jelas membuktikan betapa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersikap berat sebelah dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada mereka. Sungguhpun begitu Malaysia mengalu-alukan tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sidang tergempar pada 31 Mei yang lalu bagi membincangkan serangan tentera Rejim Zionis ke atas konvoi kapal yang membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza. Nyatanya sejak enam dekad yang lalu Rejim Zionis telah terus-terusan menzalimi rakyat Palestin. Walaupun pelbagai Resolusi telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tetapi semuanya tidak dihiraukan oleh Israel. Perbuatan beraja di mata dan beraja di hati ini berlaku kerana samseng dunia Israel berasa mereka dilindungi satu-satunya kuasa besar dunia. Sehubungan dengan itu, Malaysia ingin mendesak Amerika Syarikat untuk tampil, tanpa sebarang dolak dalik menunaikan tanggungjawab moral dalam memastikan rejim tersebut mematuhi tata kelakuan negara bangsa yang bertanggungjawab dan bertamadun. Ketahuilah bahawa, piawai moral dan etika sebuah negara bangsa tidak boleh berbeza dengan piawai yang dikenakan kepada individu. Tambahan lagi, kepentingan nasional sesebuah negara bangsa tidak boleh mengatasi piawai asas kemanusiaan hanya kerana mereka mempunyai kekuasaan. Pegangan bahawa siapa kuat dialah kudrat sudah tidak boleh dipakai lagi. Dalam kata lain, tidak ada bezanya keganasan kumpulan dan individu berbanding keganasan yang dilakukan negara bangsa. Ia tetap keganasan yang perlu dipertanggungjawabkan serta diadili.

Tuan Yang di Pertua, Jika kebenaran berpunca dari muncung senjata bukannya dari kebenaran undang-undang dan prinsip moral universal maka keamanan dunia akan sentiasa berada di hujung tanduk. Bukankah sejarah sudah cukup mengajar kita bahawa peperangan dunia pertama dan kedua yang mengorbankan nyawa bukan sedikit jumlahnya dan mengakibatkan kemusnahan yang bukan enteng adalah berpunca daripada kekuatan muncung senapang? Dunia tidak boleh membenarkan rasisme yang berteraskan prinsip bahawa ada bangsa yang lebih mulia dari bangsa yang lain menjadi satu pegangan di dunia ini. Bukankah dunia telah membayar harga yang mahal untuk menewaskan Nazisme dan Fasisme. Makanya, selagi sokongan Amerika Syarikat kepada rejim Zionis Israel bersifat menyeluruh bukannya bersyarat kepada pematuhan nilai-nilai kemanusiaan yang universal, selagi itulah keangkuhan rejim ini tidak akan ada kesudahannya.

Tuan Yang di Pertua, Dalam pada Malaysia kecewa di atas kegagalan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan keras sewajarnya terhadap Rejim Zionis, Malaysia akan tetap berusaha keras untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang sedang menderita.

Perjuangan ini tidak akan tamat sehingga sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan kendiri ekonomi dapat dibangunkan. Saya sendiri baru-baru ini, telah menyuarakan komitmen serta pendirian Malaysia ini kepada Tuan Yang Terutama Presiden Negara Palestin, Mahmoud Abbas semasa lawatan beliau ke Malaysia. Malaysia akan terus mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mencela tindakan ganas Israel dan supaya pemimpin-pemimpin Rejim Zionis yang bertanggungjawab dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Malaysia juga akan menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Tuan Yang di Pertua Malaysia juga akan mendesak supaya Rejim Israel membayar ganti rugi serta pampasan ke atas semua harta benda, bahan makanan, alat-alat binaan dan perubatan, termasuk kapal-kapal yang telah ditawan serta semua barangan persendirian ahli konvoi yang telah dirampas secara haram oleh tentera Rejim Zionis. Di samping itu Malaysia juga mendesak agar Israel membayar ganti rugi akibat dari kesan trauma secara psikologi, mental dan fizikal serta apa-apa pampasan yang difikirkan layak oleh Mahkamah Antarabangsa. Malaysia juga berasa amat sedih dan sangat kesal dengan situasi kemanusiaan meruncing yang sedang berlaku di Gaza akibat kepungan Rejim Zionis. Sekatan dan kepungan kejam Rejim Zionis ini telah mengakibatkan kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan, perubatan, bahan mentah serta minyak bagi keperluan kehidupan harian masyarakat Palestin di Gaza. Tuan Yang di Pertua, Mutakhir, semalam perkembangan terbaru, kita mendapat berita tentang usaha-usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas berkaitan isu ini. Suka saya menyatakan, Malaysia menyokong sebarang cadangan untuk menubuhkan suruhanjaya penyiasatan antarabangsa yang bebas, adil dan berkecuali bagi menyiasat insiden yang telah berlaku. Malaysia tiada masalah malahan menyokong jika Sir Geoffrey Palmer, mantan Perdana Menteri New Zealand yang diamanahkan untuk mengetuai siasatan antarabangsa ini. Tuan Yang di Pertua Alhamdulillah, di atas segalanya, kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana rakyat Malaysia yang ditahan oleh Rejim Zionis, telah berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air. Kejayaan ini, tidak akan dapat dicapai tanpa bantuan dan pertolongan negara-negara sahabat. Dalam hal ini, Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Jordan, Turki, Ireland dan Filipina dan juga negara-negara lain yang bersedia menghulurkan bantuan dalam usaha membebaskan rakyat Malaysia yang telah ditahan oleh Rejim Zionis. Begitulah, kita juga berbangga dengan semangat waja 6 lagi wira Malaysia yang berlayar dengan kapal Rachel Corrie kerana di celah-celah ketidaktentuan suasana, telah memilih untuk mara ke hadapan sekalipun mengetahui risiko yang bakal ditempuhi. Syukurlah, tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Setakat hari ini, kita mendapat maklum bahawa usaha-usaha membawa mereka kembali sedang diatur dan disusun. Didoakan agar semuanya berada dalam keadaan selamat sehingga pulang ke Malaysia nanti.

Tuan Yang di Pertua, Dunia terus menyaksikan pelbagai gelagat dan tindakan zalim yang telah dilakukan oleh Rejim Zionis Israel, termasuk insiden terbaru ini. Perlu saya gariskan, kezaliman seumpama ini akan berterusan dan mungkin tiada noktahnya sekiranya masyarakat dunia terus berpeluk tubuh, membisu dan berdiam diri.

Tindakan ini akan hanya membuatkan Rejim Zionis Israel terus bersikap angkuh, ghairah dan bermaharajalela melakukan keganasan tanpa had dan batasan sehingga rakyat Palestin kian terbelenggu mencari sinar kedamaian. Harus juga dinyatakan kepada semua Ahli Yang Berhormat bahawa, tanggungjawab untuk menghentikan penindasan yang berlarutan di Palestin selama ini, adalah tanggungjawab kita bersama, perlu ditangani, di mana keamanan boleh dicapai sekiranya wujud keikhlasan. Namun kita menyedari bahawa tidak semua orang Yahudi menyokong dan bersekongkol dengan Rejim Zionis Israel. Ramai orang Yahudi juga yang cintakan keamanan dan mahukan keadilan diberi kepada bangsa Palestin. Jelaslah, situasi yang menimpa rakyat Palestin, khususnya di Gaza, bukan saja penindasan terhadap umat Islam, tetapi sesuatu yang melangkaui kepercayaan agama, melibatkan hak asasi, keadilan dan kemanusiaan. Bersama-samalah kita memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa, agar bencana kemanusiaan yang menimpa rakyat Palestin ini, dapat dihentikan dengan serta-merta. Tuan Yang di Pertua, saya mohon mencadangkan. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Kolumnis

iklan

Iklan