Orang Awam Setuju Usul PM Kecam tindakan Israel

Diterbitkan: Isnin, 7 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peluang mendengar dan melihat sendiri pembentangan usul mengutuk serangan Israel ke atas kapal bantuan kemanusiaan Gaza di Dewan Rakyat hari ini turut membangkitkan semangat dan perasaan marah orang awam terhadap kekejaman rejim zionis itu.

Memuji keberanian kerajaan untuk membentangkan usul itu, mereka yang hadir sebagai pelawat di Parlimen turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani isu berkenaan.

Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Ahmad Khirul Nizam Ali, 31, berkata, pembentangan usul itu menunjukkan ketegasan pemimpin negara dalam mengutuk tindakan keji tentera Israel yang jelas bukan sahaja bertindak di luar batas kemanusiaan tetapi melanggar peruntukan undang-undang antarabangsa.

"Usul ini adalah satu tindakan bernas dan berani kerajaan Malaysia dalam mengutuk serangan keji tentera zionis yang dilihat bermaharajalela bertindak tanpa mengikut peruntukan undang-undang antarabangsa.

"Ini juga secara tidak langsung dapat membuka mata dunia bahawa jangan sesekali menidakkan kuasa yang kita ada walaupun Malaysia sebuah negara yang kecil," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perbentangan usul berkenaan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Khirul yang mengikuti perbentangan usul itu dari Galeri Awam Dewan Rakyat juga menyuarakan kekesalan atas tindakan lemah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dalam mengutuk serangan tentera Yahudi itu.

"Sewajarnya negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat perlu buka mata dan beri sokongan penuh dalam hal ini memandangkan telah jelas dan nyata Israel telah mencabuli hak-hak asasi manusia, tapi apa yang kita lihat PBB mengambil masa yang lama untuk bersuara," katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM, Shahzada Khan Nawab Khan berkata, pemimpin dan rakyat Malaysia perlu terus memperjuangkan usul yang dibentangkan Perdana Menteri bagi menuntut Israel memberi penjelasan rasional serangan yang dilakukan ke atas kapal konvoi bantuan kemanusiaan Mavi Marmara.

"Kesemua 15 ketetapan yang dibacakan oleh Datuk Seri Najib (Tun Razak) sebentar tadi memperlihatkan bahawa kita bukan sekadar bersuara tetapi ada tindakan yang dilakukan.

"Kita perlu desak mereka (Israel) memberi pendirian yang lebih jelas kenapa mereka perlu serang kapal yang membawa sukarelawan dan muatan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza," kata mahasiswa Kejuruteraan Mekanikal itu.

Beliau turut menggesa mahasiswa seluruh negara supaya menyokong cadangan-cadangan ini dan Institut Pengajian Tinggi Awam seluruh Malaysia yang akan membuat tuntutan kepada pihak berkenaan dalam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu tersebut.

Bagi rakan sepengajiannya, Ros Azlinda Sazreen Abd Aziz pula berkata sebagai seorang mahasiswa, isu ini telah membuka matanya supaya lebih prihatin dengan masalah yang menimpa penduduk Palestin dan kezaliman rejim zionis terhadap pihak yang ingin memberi bantuan kepada masyarakat di Gaza.

"Saya sangat setuju dengan usul tersebut sebab kita tahu tindakan itu sangat kejam apa lagi ia dilakukan terhadap konvoi bantuan keamanan. Serangan itu tidak sepatutnya berlaku tapi apa yang kita lihat mereka bertindak sebaliknya dan melampaui batas dengan menyerang sukarelawan-sukarelawan tersebut," katanya.

Terdahulu, Najib dalam usul yang mempunyai 15 ketetapan itu menyarankan agar negara-negara dunia sepakat membawa usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk merujuk perbuatan ganas rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Beliau juga menyarankan Turki yang kehilangan sembilan aktivis kemanusiaannya akibat dibunuh komando Israel mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan Statut Rom, ICC.

Usul khas ini juga mengecam sekeras-kerasnya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana membenarkan tenteranya bertindak di luar batas kemanusiaan terhadap rakyat negara lain termasuk Malaysia yang menyertai misi bantuan tersebut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan