JKR Diminta Pastikan Tiada Projek 'Sakit' Di Bawah RMK-10

Diterbitkan: Isnin, 7 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor mengarahkan agar Jabatan Kerja Raya (JKR) memastikan tidak ada projek terbengkalai di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang bermula tidak lama lagi.

Beliau berkata projek 'sakit' itu diibaratkan sebagai penyakit kanser, sekiranya seseorang tidak membuat pemeriksaan kesihatan berkala penyakit itu akan sukar diubati.

"Begitu juga dengan pengurusan projek. Sekiranya pada peringkat awal sudah terdapat kelemahan yang wujud, JKR selaku pemantau perlu tahu menanganinya," katanya berucap merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan JKR yang dihadiri 400 pegawai jabatan itu daripada semua peringkat di sini hari ini.

Katanya daripada 6,104 projek dengan peruntukan RM41 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sebanyak 4,053 atau 66.4 peratus telah siap dibina dan diserahkan kepada agensi manakala 1,480 atau 24.2 peratus sedang dalam proses pembinaan mengikut jadual dan hanya 96 projek atau 1.6 peratus adalah projek 'sakit'.

Selain itu sebanyak 266 projek atau 4.4 peratus sedang dalam proses pra-pembinaan dan selebihnya 209 projek atau 3.4 peratus ditangguhkan atau dibatalkan, kata beliau.

Shaziman berkata tidak dinafikan bahawa kesemua kejadian berhubung masalah pembinaan berkait rapat dengan sikap integriti yang menyebabkan cara pelaksanaannya dipersoalkan dan menjadi perdebatan umum.

"Pokok pangkalnya setiap masalah yang timbul dalam pelaksanaan sesuatu projek pasti dapat diminimumkan sekiranya kita semua mempunyai nilai integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas masing-masing," katanya.

Beliau berkata semua anggota JKR kini perlu bersikap proaktif dan bersedia dengan cadangan-cadangan reka bentuk, kenal pasti masalah tapak serta individu serta pakar berkaitan untuk diserapkan ke dalam pasukan projek, sebelum projek RMK-10 diumumkan.

Katanya JKR perlu berani memperkenalkan idea baru dalam pelaksanaan projek serta mengkaji semula reka bentuk, mutu dan arahan teknik yang tidak lagi sesuai digunakan.

Beliau berkata secara lazimnya dalam menyediakan cadangan penyelesaian teknikal, JKR akan mengemukakan cadangan ideal untuk dilaksanakan namun realitinya adalah berbeza.

Shaziman berkata JKR perlu bijak menginovasikan segala sumber yang ada agar dapat membantu kerajaan untuk berjimat bagi tempoh jangka masa panjang.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan anugerah kepada tujuh syarikat kontraktor yang masing-masing memenangi kategori pelaksanaan projek besar, sederhana dan kecil serta Anugerah Kualiti pelbagai kategori jabatan berkenaan.

Trans Resources Corporation Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat TRC Synergy Bhd memenangi anugerah tempat pertama bagi Kategori Projek Besar manakala M-TSR Tek Sdn Bhd di tempat kedua.

FNA Builders & Services Sdn Bhd dan Takdir Permai (M) Sdn Bhd masing-masing tempat pertama dan kedua bagi Kategori Projek Sederhana serta Pembinaan Sahabat Sepakat Sdn Bhd, Intelcon Engineering Sdn Bhd dan Tabalan Dagang Sdn Bhd masing-masing tempat pertama, kedua dan ketiga bagi Kategori Projek Kecil.

Selain itu JKR Kuala Pilah menggondol tempat pertama Anugerah Pengurusan Pembinaan Terbaik bagi Kategori Projek Konvensional (bangunan), JKR Cawangan Pangkalan Udara dan Maritim pula memenangi tempat pertama Anugerah Pengurusan Pembinaan Terbaik Kategori Reka dan Bina serta pasukan projek khas JKR LPT meraih juara Anugerah Pengurusan Pembinaan Terbaik Kategori Projek Konvensional (infrastruktur). - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan