Enam Lagi Rakyat Malaysia Dalam Misi Gaza Selamat Pulang

Diterbitkan: Isnin, 7 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Enam rakyat Malaysia dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang ditahan dan kemudian dibebaskan oleh tentera Israel, pulang ke tanah air dari Jordan malam ini.

Ketibaan mereka di KLIA dengan pesawat Royal Jordanian pada 7.12 malam, disambut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi Perdana Global Peace Organisation (PGPO), badan bukan kerajaan yang menaja misi bantuan itu.

Sukarelawan Malaysia itu terdiri daripada Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, ketiga-tiganya daripada PGPO, Anggota Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria serta Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin, kedua-duanya daripada TV3.

Turut sama menyambut kepulangan mereka ialah anggota keluarga masing-masing.

Kumpulan itu, yang menaiki kapal MV Rachel Corrie membawa pelbagai bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza, ditahan selepas tentera Israel mengiringi kapal itu ke Pelabuhan Ashdod dua hari lepas dan dibebaskan semalam di Jambatan Raja Hussein di sempadan Israel-Jordan.

Ahad lepas, 12 lagi sukarelawan Malaysia yang ditahan dalam sebuah kapal lain dalam misi yang serupa, telah selamat kembali ke tanah air. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan