Makan Kentang Rebus, Minum Air Paip - Samsul Kamal

Diterbitkan: Ahad, 6 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shamsul Kamal mencium isterinya Salina Abdullah sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini. Foto: BERNAMA
Shamsul Kamal mencium isterinya Salina Abdullah sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini. Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: “Saya diberi makan kentang rebus dan sup sayur. Bagi menghilangkan dahaga, saya terpaksa minum air paip,” kata Samsul Kamal Abdul Latif mengenai pengalamannya ditahan rejim Zionis semasa menyertai misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, baru-baru ini.

Samsul Kamal, 43, yang berkongsi sel bersama dua lelaki warga Algeria menambah, permintaannya untuk mendapatkan rawatan di klinik kerana sakit perut juga tidak diendahkan tentera Yahudi.

“Saya tidak diberitahu berapa lama akan ditahan. Bila mereka memberi baju dan tuala, saya rasa ia mungkin akan mengambil masa lama, iaitu dua atau tiga minggu. Alhamdulillah, saya kemudiannya diarahkan keluar dan diberitahu telah bebas,” katanya.

Jurukamera yang telah tiga tahun berkhidmat di Astro Awani itu menambah, kekejaman tentera Israel bermula di atas kapal lagi dengan dia hampir terjatuh di dek kapal akibat ditolak, diperiksa dan peralatan yang dibawa dirampas.

“Saya cuba dan dapat merakamkan beberapa visual mengenai apa yang berlaku di atas kapal. Bagaimanapun, apabila mendapat semula peralatan, saya kecewa kerana mendapati semuanya telah dimusnahkan,” katanya.

Katanya, kekejaman Israel yang hanya disaksikan di kaca televisyen selama ini dapat dilalui sendiri semasa ditahan.

Seorang lagi sukarelawan, Abdul Halim Mohamed Redzuan yang mewakili Muslim Care Malaysia berkata, beliau telah melakukan persediaan termasuk menyiapkan wasiat sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

Beliau menambah, peristiwa itu menyatukan umat Islam di seluruh dunia untuk menentang kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Sebelum itu mereka diraikan bersama 10 lagi sukarelawan lain di kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.

Dalam insiden Isnin lepas, kapal Mavi Marmara milik Turki yang membawa sukarelawan termasuk 12 rakyat Malaysia diserang tentera Israel menyebabkan sembilan sukarelawan terbunuh.

Bagaimanapun, semua sukarelawan negara terselamat dan ditahan di Penjara Be’er Sheva iaitu penjara baru di Israel sebelum dibebaskan dan dibawa ke Amman, Jordan.

Kumpulan sukarelawan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Jordan pada pukul 4.20 petang, Jumaat lalu dan melakukan pertukaran penerbangan di Istanbul sebelum berlepas pulang ke tanah air petang Sabtu lalu.

Kumpulan sukarelawan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.40 pagi, hari ini dengan menaiki pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sebelum di bawa ke kediaman Perdana Menteri untuk sarapan pagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan