Golongan Muda Wajar Jadikan Peristiwa Ditawan Israel Pendorong Bantu Palestin

Diterbitkan: Ahad, 6 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Golongan muda perlu jadikan peristiwa 12 sukarelawan Malaysia ditawan tentera rejim Israel sebagai pendorong untuk teruskan misi membantu Palestin.

Isteri kepada salah seorang sukarelawan terbabit, Faezah Hassan, 52, berkata, walaupun dia agak cemas dengan insiden itu namun harapannya ia membakar semangat lebih ramai golongan muda ke Gaza bagi membantu rakyat di sana yang ditindas Yahudi sejak dahulu.

“Kejadian yang berlaku mencelikkan mata dunia. Saya harap lebih banyak golongan muda akan bersama melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan,” katanya yang juga isteri kepada Dr Selamat Aliman yang kembali ke tanah air bersama 11 lagi sukarelawan awal pagi tadi.

Faezah menambah, mereka sekeluarga tidak panik walaupun mendengar berita tentera Israel melepaskan tembakan terhadap kapal Mavi Marmara yang dinaiki Selamat.

“Kami tenang kerana telah bersedia dengan semua kemungkinan. Kami mengikuti setiap perkembangan menerusi Internet. Kami sentiasa berdoa,” katanya.

Katanya lagi, keluarganya yang banyak memberi sokongan dalam menghadapi saat-saat tegang tersebut merancang untuk mengadakan majlis kesyukuran.

“Saya tetap terkilan kerana misi menyampaikan bantuan masih tidak tercapai,” katanya lagi.

Sementara itu, Selamat pula memberitahu, ini merupakan kali kedua percubaannya untuk ke Semenanjung Gaza tidak tercapai dan secara keseluruhan, beliau telah menyertai 15 misi seperti ini.

“Walaupun bantuan tidak dapat disampaikan, saya tetap mengatakan matlamat kami untuk membuka mata dunia bahawa penduduk Palestin dinafikan hak mendapatkan keperluan asas tercapai.

“Dunia kini sedar dengan berita kekejaman tentera Israel,” katanya.

Selamat ialah salah seorang daripada 12 sukarelawan Malaysia yang ditahan di Penjara Be’er Sheva selepas kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan diserang komando Israel, Isnin lalu.

Dalam serangan itu, sembilan sukarelawan terbunuh. Bagaimanapun, semua sukarelawan negara selamat.

Kumpulan sukarelawan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Istanbul pada jam 5.40 pagi tadi menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan