6 Sukarelawan Malaysia Dijangka Pulang Ke Tanah Air Pada 7 Petang Esok

Diterbitkan: Ahad, 6 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Enam sukarelawan Malaysia yang menaiki MV Rachel Corrie, kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dirampas Israel semalam dijangka pulang ke tanah air pada pukul 7 petang esok.

Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria yang juga salah seorang daripada sukarelawan terbabit mengesahkan perkara itu kepada mStar Online ketika dihubungi di Amman, Jordan hari ini.

Menurut beliau, mereka kini ditempatkan di Hotel Crown Plaza di ibu kota negara itu.

“Kami semua dalam keadaan selamat dan sedang membuat persiapan untuk pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Kesemua mereka telah dibebaskan di sempadan Israel-Jordan pada pukul 5.20 petang waktu Malaysia kini ditempatkan di hotel berkenaan yang disambut oleh Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz.

Sementara itu, Abdul Malek berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan mengenai persiapan untuk membawa pulang kesemua sukarelawan itu ke Kuala Lumpur.

“Rakyat Malaysia serta ahli keluarga sukarelawan tidak perlu bimbang kerana mereka kini selamat di Amman dan usaha giat dijalankan untuk membawa mereka pulang,” katanya.

Selain Mohd Nizar, lima sukarelawan lain adalah anggota Pertubuhan Damai Perdana Global (PGPO), Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta wartawan TV3, Halim Mohamed dan jurukameranya, Mohd Jufri Judin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan