Risda Lulus Peruntukan RM1.2 Juta Tuisyen Luar Bandar

Diterbitkan: Sabtu, 5 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR GAJAH: Pihak Berkuasa Pertubuhan Pekebun Kecil Getah (Risda) memperuntukan RM1.2 juta bagi melaksanakan tuisyen kepada pelajar luar bandar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengerusi Risda Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata pelaksanaan tuisyen di bawah Program Kecemerlangan Pendidikan, melibatkan 120 kawasan parlimen dan setiap kawasan menerima peruntukan sebanyak RM10,000.

"Ini adalah tanggungjawab sosial Risda untuk membantu anak pekebun kecil dan peneroka di kawasan kampung mendapat kelas tambahan agar mereka mencapai keputusan cemerlang dalam pendidikan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan majlis sambutan Jubli Perak Tabung Pelajaran Kampung Air Hitam Darat dekat sini, malam tadi.

Beliau berkata inisiatif Risda itu selaras dengan usaha kerajaan untuk merapatkan jurang prestasi pendidikan antara pelajar bandar dan luar bandar.

Abdul Rahim, yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), berkata Pusat Sehenti Gabem yang setakat ini wujud di Kuala Lumpur akan diperluaskan ke negeri lain. Beliau berkata pusat itu mendapat sambutan menggalakkan daripada usahawan bumiputera terutama mereka yang ingin mencari peluang baru selain usahawan menghadapi masalah modal.

Katanya Gabem sebagai pemerhati dan pelindung kepada usahawan bumiputera akan memastikan mereka mempunyai daya saing bagi merebut pelbagai peluang ekonomi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan