GLC Boleh Main Peranan Bangunkan Kampung Baru, Kata Elyas Omar

Diterbitkan: Sabtu, 5 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh memainkan peranan membangunkan Kampung Baru bagi memastikan hak pemiliknya terpelihara, kata Tan Sri Elyas Omar.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur dari 1981 hingga 1992 itu berkata, langkah tersebut adalah lebih baik berbanding cadangan membuka pemilikan tanah kawasan itu kepada bukan Bumiputera.

"Saya percaya pemilik tanah Kampung Baru lebih yakin untuk menyerahkan tanggungjawab kepada syarikat GLC bagi menguruskan pembangunan hartanah mereka jika ianya tidak melibatkan pertukaran hak milik," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata dengan cara tersebut, pemilik tanah dapat menuai keuntungan daripada projek pembangunan Kampung Baru tanpa perlu menukar hak milik tanah mereka.

Elyas berkata demikian ketika mengulas isu pembangunan Kampung Baru yang menjadi 'panas' apabila pemilik tanah tidak bersetuju dengan cadangan awal kerajaan untuk mengunakan nisbah 60:40 dalam pembahagian pemilikan tanah di kampung itu dalam membangunkan kawasan tersebut.

Katanya, saranan menggunakan nisbah itu dalam membangunkan Kampung Baru bukan penyelesaian terbaik.

Beliau berkata terdapat banyak pendekatan lebih sesuai yang boleh digunakan untuk membangunkan kawasan seluas 151.57 hektar itu tanpa melibatkan sebarang konflik dan rasa tidak puas hati pemiliknya

"Walaupun enakmen pemilikan tanah Kampung Baru boleh diubah atau dihapuskan, kita masih lagi perlu menghormati semangat enakmen tersebut yang menetapkan tanah di kawasan itu tidak boleh dipindah atau diduduki oleh bukan Melayu," katanya.

Elyas berkata ini bukan bermakna beliau menolak penglibatan bukan Bumiputera di Kampung Baru, sebaliknya percaya perancangan dan pelaksanaan pembangunan kawasan itu perlu dilakukan dengan teliti.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin memberi jaminan bahawa kerajaan tidak bercadang menjual walau seincipun tanah di Kampung Baru kepada kaum atau bangsa lain.

Beliau turut menyatakan kesudian pihak kerajaan berunding dengan pemilik tanah sehingga satu persetujuan yang menguntungkan kedua-dua pihak dicapai. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan