Agong Sampaikan Pingat, Darjah Kebesaran Kepada 39 Penerima

Diterbitkan: Sabtu, 5 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Puan Sri Noor Ainee Che Teh, balu bekas Presiden Perbadanan Putrajaya dan juga Petronas Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin, hari ini mewakili Allahyarham menerima anugerah tertinggi Darjah Kebesaran Persekutuan 2010, Seri Setia Mahkota Malaysia (S.S.M) yang membawa gelaran Tun daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini.

Allahyarham seorang tokoh yang dihormati di sektor kerajaan dan swasta meninggal dunia pada 14 Julai 2004 pada usia 68 tahun merupakan antara 39 penerima anugerah darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Seramai dua orang menerima darjah Panglima Mangku Negara (P.M.N.) yang membawa gelaran Tan Sri iaitu Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

Yang di-Pertuan Agong juga mengurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang juga membawa gelaran Tan Sri kepada 16 orang.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Dr Zulkefli A. Hassan, Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Hasmah Abdullah, Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Datuk Seri Abdul Shukor Abdullah.

Pengarah Perubatan Institut Jantung Negara Datuk Seri Dr Robaayah Zambahari, Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Adenan Satem, bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn.

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman, Pengarah Institut Pengurusan & Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin.

Pengarah Urusan The Store Corporation Berhad Datuk Seri Tang Yeam Soon, bekas Timbalan Menteri Pertanian Prof Datuk Dr T.Marimuthu dan Penimbangtara dan Peguambela Zul Rafique Associates Datuk Cecil Wilbert Mohanaraj Abraham.

Seri Paduka juga menganugerahkan darjah Panglima Setia Mahkota (Kehormat) kepada Ketua Polis Republik Indonesia Jeneral Polisi Drs. Bambang Hendarso Danusri.

Seramai 16 orang lagi menerima darjah Panglima Jasa Negara (P.J.N) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman, Timbalan Ketua Audit Negara Datuk Azizah Arshad, Peguam Bela & Peguam Cara Rakan Kongsi Tetuan Shahidan Fazli Nawawi & Partners Mohd Nawawi Ismail.

Anggota Jawatankuasa Gerakan Lee Ah Fat, Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Sheah Zwat Tsang @ Vincent Shia, Anggota Parlimen Kapit Alexander Nanta Linggi yang juga Naib Pengerusi BNBBC Sarawak, Bendahari Agung Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) D. Gnanasambantham.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Henrynus Amin, Anggota Parlimen Kanowit Aaron Ago Dagang, Ketua Eksekutif Kumpulan Symphony House Berhad Datuk Mohamed Azman Yahya, Pengarah Filem dan Penulis Skrip Persatuan Seniman Malaysia Datuk Jamil Sulong.

Pengerusi Eksekutif INNO Serangkai Sdn Bhd Datuk Wan Ahmad Fauzi Hashim @ Wan Husain, Pengarah Urusan Malaysian Industrial Development Finance Berhad Mohd Najib Abdullah dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan The News Straits Times Hardew Kaur.

Yang di-Pertuan Agong juga menganugerahkan darjah Panglima Jasa Negara (Kehormat) kepada Ketua Polis Kepala Badan Narkotik Nasional Komisaris Jenderal Polisi Drs. Gories Mere.

Baginda turut menganugerahkan Darjah Panglima Setia Diraja (P.S.D) yang membawa gelaran Datuk kepada empat orang iaitu Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Wan Zahidi Wan Teh, Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shaharuddin Md. Som, Senior Consultant Physician and Gastroentrologist Hospital Putrajaya Datuk Dr Ahmad Shukri Md Salleh @ Embat dan Ketua Perkhidmatan Perubatan Prince Court Medical Centre Sdn Bhd Dr Ryan Ponnudurai. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan