Najib Mahu Malaysia Capai Kedudukan Lima Teratas Dalam Daya Saing Global

Diterbitkan: Jumaat, 4 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

VIENTIANE: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia harus menduduki tempat kelima teratas dalam senarai daya saing dunia selepas melonjak dalam kelompok 10 teratas pada tahun ini.

Perdana Menteri berkata negara tidak boleh berpeluk tubuh, sebaliknya harus terus berusaha keras untuk mencapai kedudukan lima teratas dunia.

"Kita harus bertungkus lumus untuk mencapai sasaran ini" katanya semasa pertemuan dengan kira-kira 120 rakyat Malaysia di Laos di sini Khamis sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke negara ini.

Beliau berkata dalam tempoh setahun lalu negara mencatat dua pencapaian yang harus dibanggakan seluruh rakyat Malaysia.

"Pertama kita dapat mengubah ekonomi daripada kemelesetan untuk mencatat pertumbuhan 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini.

"Berapa banyak negara yang boleh mencatatkan pertumbuhan sebesar ini? "Kedua, dalam masa setahun Malaysia melonjak daripada kedudukan ke-18 kepada ke-10 negara paling berdaya saing di dunia.

"Kita harus berbangga dengan pencapaian ini. Tetapi tidak harus berpuashati kepada kedudukan ke-10 teratas. Kita mahu mencapai kelima teratas," kata Najib.

Najib yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor mengetuai delegasi tiga menteri beberapa pegawai kerajaan dan 70 ahli perniagaan dalam lawatan itu.

Buku Tahunan Daya Saing Dunia (WCY) diterbitkan Institut Pengurusan Pembangunan Antarabangsa (IMD) yang berpusat di Switzerland baru-baru ini, menyenaraikan Malaysia di tempat ke-10 dalam senarai negara paling berdaya saingnya baru-baru ini, melonjak daripada tempat ke-18 pada tahun sebelumnya.

Ia adalah kali pertama Malaysia disenaraikan dalam kedudukan ke-10 teratas sejak mula dimasukkan dalam senarai WCY itu pada 1999.

Najib berkata sebagai Perdana Menteri beliau akan terus berkerja keras tanpa memikirkan penat lelah untuk mentransformasikan negara.

"Saya mahu menanggung beban kepimpinan sebagai Perdana Menteri untuk mencuba sedaya upaya mentransformasikan Malaysia," katanya.

Beliau berkata usaha transformasi negara bukanlah boleh dipikul oleh beliau seorang tetapi seluruh barisan kabinet dan malah seluruh warga Malaysia di dalam dan luar negara, harus terbabit bersama.

"Perkara ini bukanlah mengenai politik, sebaliknya ia mengenai usaha untuk mencapai kejayaan. Sebagai hasilnya, apa yang kita mahu melihat ialah Malaysia menjadi lebih baik pada masa depan dan saya yakin dengan sokongan anda saya yakin kita akan mencapainya," kata Perdana Menteri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan