Malaysia Gesa Israel Tidak Cederakan Sukarelawan Kapal Rachel Corrie

Diterbitkan: Jumaat, 4 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Israel agar tidak mengambil sebarang tindakan drastik yang boleh menyebabkan kecederaan terhadap sukarelawan yang menaiki kapal bantuan kemanusiaan MV Rachel Corrie.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata pihak berkuasa Israel harus memastikan laluan selamat kapal itu belayar ke Gaza untuk menghantar kargo bantuan kemanusiaan rakyat Palestin.

"Sebarang tindakan ketenteraan Israel terhadap kapal yang tidak bersenjata yang mengangkut orang awam dan bantuan kemanusiaan, akan menambah tanggapan negatif masyarakat antarabangsa terhadap Israel selain menunjukkan ketidakacuhan negara itu terhadap kewajipan antarabangsa apabila menunjukkan keingkarannya terhadap pendapat dunia," kata beliau dalam kenyataan di sini malam tadi.

Beliau berkata tidak ada alasan bagi Israel untuk mengesyaki kapal itu akan menimbulkan ancaman keselamatan memandangkan penumpang kapal itu terdiri daripada wakil badan bukan kerajaan, Anggota Parlimen, pemenang anugerah Novel dan wartawan.

"Setiap barang di dalam kapal itu seperti bahan-bahan pelajaran, permainan kanak-kanak dan bahan-bahan pembinaan telah diperiksa di Ireland," kata Anifah.

Enam rakyat Malaysia yang berada di kapal itu adalah Anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria, wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal dan Ahmad Faizal Azumu, peguam Matthias Chang dan dua wakil media dari stesen TV3 wartawan Abdul Halim Mohamed dan jurukamera Mohd Jufri Judin.

Anifah juga menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak membenarkan keganasan dan kekerasan berlaku lagi tanpa sebarang respon yang sewajarnya.

"Israel harus mengadakan dialog keamanan di bawah panji-panji Proses Keamanan Timur Tengah dalam usaha untuk mempromosikan keamanan dan keselamatan selama-lamanya di rantau itu," katanya.

Serangan tentera Israel ke atas kapal Turki 'Mavi Marmara' yang mengangkut bantuan kemanusiaan ke Gaza Isnin lepas telah mendapat kutukan sekeras-kerasnya daripada masyarakat antarabangsa.

Seramai 12 rakyat Malaysia yang berada di kapal itu selamat dan kini berada di Jordan untuk menunggu berlepas pulang ke tanahair Ahad ini.

Bagaimanapun, beberapa sukarelawan dari negara-negara lain telah terbunuh dalam serangan berdarah itu.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan