RMK10 Dibentang Di Parlimen Khamis Depan

Diterbitkan: Khamis, 3 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kembali bersidang minggu depan dengan tumpuan pastinya kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) Khamis depan yang akan menggariskan program pembangunan lima tahun negara hingga 2015.

Banyak kalangan menunggu intipati RMK-10 yang merupakan salah satu daripada empat tiang utama pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke arah menjadikan Malaysia negara berstatus pendapatan tinggi menjelang 2020.

Tiga lagi tiang tonggak itu ialah Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Bagaimanapun, persidangan bakal bermula dengan pembentangan usul oleh Perdana Menteri pada Isnin bagi mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera rejim Israel menyerang flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza mengakibatkan 19 aktivis terbunuh.

Pelbagai kalangan rakyat Malaysia telah melahirkan kemarahan, termasuk menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat di sini mengenai keganasan tentera Israel menceroboh kapal Turki "Mavi Marmara" Isnin lepas sebelum menahan kesemua penumpang termasuk 12 rakyat Malaysia.

Kesemua rakyat Malaysia itu kini dibebaskan dan berada di Jordan sebelum dijangka pulang ke tanah air Ahad ini.

Kalangan pemerhati berpendapat, kemungkinan buat pertama kali Dewan Rakyat menyaksikan persetujuan sepakat termasuk daripada pembangkang terhadap usul untuk membawa soal keganasan rejim Israel itu ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub berkata parti itu menyambut baik pembentangan usul tersebut dan akan mencadangkan beberapa inisiatif yang boleh dimainkan kerajaan.

Jika diberi peluang, katanya, beliau mahu mencadangkan sekatan ekonomi secara drastik dunia terhadap Israel serta mendesak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan juga Amerika Syarikat menggunakan pendekatan ketenteraan terhadap Israel.

Dalam masa yang sama, persidangan kali ini bakal menyaksikan kehadiran muka baru dan perubahan tempat duduk di Dewan Rakyat selepas rombakan kecil Kabinet Selasa lepas.

Rombakan yang diumumkan Perdana Menteri antara lain menyaksikan bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan manakala Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung dilantik sebagai menteri penuh.

Tempat Ong yang sebelum ini Menteri Pengangkutan digantikan oleh Datuk Seri Kong Cho Ha yang sebelum ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Chor akan mengambil alih portfolio yang dikosongkan Kong.

Antara muka baru ialah anggota Parlimen Labis, Chua Tee Yong yang juga anak kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dilantik Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Datuk Maglin Dennis D'cruz pula dilantik Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan manakala Senator Gan Ping Shou menggantikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng yang digugurkan.

Perubahan juga berlaku ekoran keputusan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor dan Sibu yang masing-masing dimenangi Barisan Nasional (BN) dan DAP.

Kedudukan terkini menyaksikan BN masih menguasai jumlah majoriti dengan 137 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) (25), DAP (29), Pas (23) dan Bebas (8).

Terkini, anggota Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mengambil keputusan keluar PKR menyertai blok anggota Bebas bersama-sama Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) dan Zulkifli Nordin (Kulim Bandar Baru).

Tiga lagi anggota Bebas ialah Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas), Datuk Chua Soon Bui (SAPP) dan Datuk Eric Majimbun (SAPP).

Antara rang undang-undang yang dibentang pada persidangan ialah Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010, Rang Undang-Undang Akta Sewa Beli (Pindaan) 2010, Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010, Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2009, Rang Undang-Undang Jualan Langsung (Pindaan) 2010 dan Rang Undang-Undang Setem (Pindaan) 2010. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan