Penantian 48 Jam Keluarga Sukarelawan Flotila Pembebasan Berakhir

Diterbitkan: Rabu, 2 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penantian dan keresahan keluarga sukarelawan yang berada di atas Mavi Marmala yang diserang rejim Israel kini berakhir apabila mereka telah dihubungi oleh suami masing-masing yang mengesahkan kesemua mereka selamat.

Walaupun mempunyai masa yang terhad untuk berbual lebih lanjut ketika dihubungi melalui panggilan telefon dari pejabat Kedutaan Malaysia di Jordan, tempoh perbualan yang singkat itu tetap menjadi detik paling manis buat isteri-isteri dan ahli keluarga aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza, Khamis lepas.

Mazlinah Ghazali, 40, menerima panggilan telefon daripada suaminya kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Suaminya, Noorazman Mohd Samsudin, 40, mengesahkan dirinya selamat dan akan pulang sebaik sahaja urusan dengan pihak kedutaan selesai.

"Dia akan telefon saya lagi untuk beritahu bila dia akan bertolak pulang. Alhamdulillah, kerana apa yang lebih penting suami saya selamat," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Sebagai isteri yang sentiasa mendoakan keselamatan suami, Mazlinah memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga sebaik sahaja mendengar suara suaminya.

"Mula-mula dia bagi salam, kemudian dia beritahu dia selamat. Kemudian dia bertanya tentang anak kami yang berusia dua tahun yang demam sehari selepas dia ke Turki. Dia juga minta saya beritahu semua ahli keluarga bahawa dia selamat dan akan pulang nanti," katanya.

Menerusi perbualan selama lebih kurang tiga minit itu, Noorazman turut memberitahu telefon bimbit dan kamera mereka telah dirampas tentera Israel dan tidak dipulangkan semula.

Noorazman merupakan ketua kepada 11 lagi rakyat Malaysia yang menyertai konvoi misi kemanusiaan ke Gaza dan mewakili Haluan Palestin.

Turut menyatakan kesyukuran dan rasa gembira ialah Wan Haliza Abd Majid, isteri kepada Mohd Nizam Mohd Awang, 43, yang turut dihubungi suaminya.

"Saya rasa lega sebab suami saya sendiri yang menghubungi saya. Tak banyak yang kami bualkan, tapi dia sempat beritahu kesemua rakyat Malaysia selamat dan berada di Jordan untuk urusan perjalanan pulang ke Malaysia," katanya.

Menurut Wan Haliza, dia tidak sabar untuk memberitahu anak-anaknya yang sedang berada di sekolah tentang berita menggembirakan ini.

Namun, anak sulung pasangan ini yang berusia 14 tahun sudah pun mendapat tahu tentang bapanya melalui laporan berita.

Sementara itu anak kepada Dr Selamat Aliman, Abdullah Mu'iz, 22, gembira sebaik dimaklumkan kesemua rakyat Malaysia terselamat.

"Dia telefon emak. Ayah kata dari Jordan mereka perlu ke Istanbul dulu sebelum balik ke Malaysia.

"Ayah juga beritahu mereka kini berada dalam keadaan sehelai sepinggang. Barang-barang masih di atas kapal dan mereka di sana masih berbincang sama ada mahu terus pulang atau sebaliknya," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan