Suleiman Sah Lepas Jawatan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa

Diterbitkan: Selasa, 1 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed hari ini disahkan melepaskan jawatan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa yang disandangnya selama 23 tahun berkuat kuasa esok.

Jawatan beliau akan dipangku oleh timbalannya, Datuk Johari Abdul Ghani.

Ketika dihubungi mStar Online, Johari berkata beliau menerima surat rasmi berhubung perkara berkenaan daripada Ibu Pejabat Umno hari ini.

"Ya, memang benar Datuk Suleiman sudah melepaskan jawatannya itu, jadi bermula esok saya akan memangku jawatannya sebagai Ketua Umno Bahagian Titiwangsa," katanya.

Difahamkan beliau melepaskan jawatan yang sepatutnya berakhir pada 2012 ialah bagi memberi laluan kepada pemimpin baru untuk menerajui Umno di bahagaian berkenaan.

Sejak minggu lalu, spekulasi bertiup kencang mengatakan Suleiman melepaskan jawatanya itu dan telah menyerahkan surat peletakannya kepada Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun Suleiman yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri selama dua penggal mengambil pendirian untuk 'bermain teka-teki' tanpa menafikan atau mengiakan mengenai perkara berkenaan.

Suleiman menang jawatan ketua Umno bahagian berkenaan tanpa bertanding selama 23 tahun.

Selain itu menurut Johari, beliau mengetahui mengenai hasrat Suleiman untuk melepaskan jawatannya itu sejak tiga minggu lalu.

"Tiga minggu lalu Datuk Suleiman ada beritahu saya yang beliau nak lepaskan jawatan, beliau kata nak bagi laluan kepada generasi baru," katanya.

Jelas beliau lagi, Suleiman juga telah memaklumkan kepada semua ketua-ketua cawangan, ketua pemuda, wanita dan puteri berhubung peletakan jawatannya.

Johari yang aktif dalam bidang politik sejak 22 tahun berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat Umno Bahagian Titiwangsa dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai pelan tindakan Umno bahagiannya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan