Penugasan Semula Anggota Polis, Idea PM Pastikan Rakyat Sentiasa Selamat

Diterbitkan: Selasa, 1 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, langkah penugasan semula anggota polis, yang sebelum ini bertugas di pejabat ke lapangan, merupakan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan rakyat sentiasa berasa dalam keadaan selamat.

Katanya, pelaksanaan pendekatan itu merupakan langkah kerajaan bagi mengurangkan kadar jenayah supaya Malaysia kekal antara negara yang aman dan selamat di dunia serta terus berada dalam kelompok negara paling berdaya saing di dunia.

"Keselamatan dan kawalan keselamatan pasaran, persekitaran dan rakyat kita adalah sangat penting demi kesinambungan daya saing, tarikan dan relevan dalam pasaran global.

"Dalam bidang khusus daya saing kita adalah untuk mengurangkan kadar jenayah. PDRM (Polis Diraja Malaysia) kini sedang melakukan penugasan semula pegawai dan anggota yang menjalankan tugasan di pejabat ke lapangan bagi tujuan ini. "Ini bagi memastikan orang ramai mempunyai akses mendapatkan perkhidmatan polis dan kawasan jalanan adalah lebih selamat daripada sedia ada," katanya dalam temubual mengenai penugasan semula anggota polis di pejabatnya di sini.

Malaysia buat pertama kalinya berada pada kedudukan di kalangan 10 negara paling berdaya saing di dunia, mengikut laporan World Competitiveness Yearbook 2010 yang diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD) yang berpusat di Switzerland.

Mohd Sidek berkata, langkah penugasan semula anggota polis itu membuatnya berasa "seronok" kerana ia tidak melibatkan kos atau peruntukan serta pengambilan baru anggota keselamatan itu.

Sebaliknya, penugasan semula anggota polis itu melibatkan mereka yang sememangnya mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam tugas-tugas mencegah jenayah, kata beliau. "Saya pun tertanya-tanya kenapa kita tidak terfikir pendekatan ini sebelum ini. Perkara ini sepatutnya telah dibuat sejak dulu lagi," katanya.

Beliau berkata, seramai 7,402 anggota polis di seluruh negara akan terlibat dalam penugasan semula itu manakala 4,279 penjawat awam di beberapa kementerian akan ditukarkan ke PDRM bagi menjalankan tugasan di pejabat.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, penugasan semula pegawai dan anggota polis sejak Januari lepas membawa kesan positif kepada masyarakat.

Katanya, maklum balas yang diterima menunjukkan masyarakat berasa lebih selamat dan yakin dengan kehadiran polis terutama di kawasan-kawasan 'panas'.

"Kami dapat banyak maklum balas melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) iaitu kehadiran lebih ramai polis melakukan tugasan di lapangan dan menjalankan rondaan pencegahan menimbulkan keyakinan orang ramai terutama daripada segi kecepatan tindak balas, tindakan diambil dalam setiap laporan yang diterima," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Musa berkata, PDRM memerlukan pegawai dan anggota muda untuk menggalas tanggungjawab memastikan kadar indeks jenayah yang kini menurun sebanyak 15 peratus serta jenayah jalanan turun sebanyak 22 peratus dapat dikurangkan lagi.

"Adalah mustahil untuk melihat jenayah di negara ini ke tahap kosong peratus kerana manusia bukannya malaikat, namun kita berusaha memastikan kadar jenayah berkurangan dan tidak berada di tahap membimbangkan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan