Peniaga Wajib Ada Lesen Runcit Barang Kawalan

Diterbitkan: Selasa, 1 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Semua peniaga yang menjual barangan kawalan iaitu gula, tepung gandum dan minyak masak akan diwajibkan memiliki lesen runcit barang-barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian yang diberikan sejak 1991 akan ditarik balik bagi memastikan barangan kawalan tidak diselewengkan mana-mana pihak memandangkan ia disubsidi kerajaan.

Katanya, semua kesalahan berkaitan menyorok gula juga tidak lagi dikenakan kompaun tetapi akan didakwa di mahkamah mengikut akta sama.

"Bagi peniaga menyorok gula, sesiapa yang ditangkap, lesen akan dibatalkan serta-merta dan tidak ada tawaran kompaun lagi. Mereka akan diserahkan ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran Konvensyen dan Ekspo Jualan Langsung di kementerian di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi mana-mana orang perseorangan yang didapati bersalah, boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara manakala syarikat boleh didenda RM250,000.

Mengenai lesen runcit, Ismail berkata, para peniaga kini boleh mula memohon lesen yang dikenakan bayaran RM10 bagi tempoh setahun.

Katanya, penarikan balik pengecualian yang diberikan itu bertujuan memudahkan penguatkuasaan dilakukan dan tindakan diambil terhadap peniaga menyorok bekalan barangan kawalan.

Ismail Sabri berkata, kementerian turut bekerjasama dengan Jabatan Kastam, Unit Pencegah dan Penyeludupan (UPP) dan Rela bagi memperketatkan kawalan di kawasan sempadan daripada segi pemantauan dan penguatkuasaan barangan kawalan.

Menurutnya, terdapat kes-kes terpencil iaitu kawasan yang kekurangan gula berikutan cuti panjang iaitu cuti Hari Wesak pada minggu lalu dan sebarang aduan boleh dibuat dengan menghubungi Bilik Gerakan kementerian yang diwujudkan khusus untuk menangani kes gula.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi di talian 03-8882 6085 atau 8882 6245 atau talian bebas tol 1800-886-800 atau talian faksimili Bilik Gerakan 03-8882 6083 atau 03-8882 6088, yang dibuka setiap hari mulai pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Ismail Sabri turut menasihati orang ramai agar tidak mempercayai sebarang khabar angin yang mendakwa harga gula dan petrol akan naik hari ini kerana selagi kerajaan tidak mengumumkan sebarang kenaikan, maka harganya adalah kekal.

"Yang menentukan turun naik harga ialah kerajaan. Jadi, jangan percaya dengan khabar angin, kepada peniaga yang sebenarnya memperbesarkan cerita untuk keuntungan mereka, akhirnya pengguna yang rugi.

"Saya nasihatkan orang ramai, percaya kepada kerajaan, kepada pengumuman dibuat oleh kerajaan dan bukan percaya kepada khabar angin yang akhirnya merugikan mereka," katanya.

Beliau berkata, semakin ramai orang bercakap mengenai khabar angin berkenaan, semakin banyak gula disorok yang akhirnya akan menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.

Ismail Sabri menegaskan bekalan gula di pasaran adalah mencukupi. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan