Masih Belum Ada Keputusan Muktamad Mengenai Subsidi: Najib - Berita Semasa | mStar

Masih Belum Ada Keputusan Muktamad Mengenai Subsidi: Najib

Diterbitkan: Selasa, 1 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum lagi membuat sebarang keputusan muktamad mengenai pengurangan atau pemotongan subsidi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, kerajaan masih lagi meneliti apa yang patut dilakukan dalam perkara ini.

"Cuma kita gambarkan kalau kita tidak melakukan apa-apa (dalam hal ini), kesannya (kepada negara pada masa depan) sudahpun kita maklumkan," katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang memotong insentif kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) yang diberikan sekarang, seperti cadangan memotong atau mengurangkan subsidi kepada pelbagai barangan yang diberikan sekarang.

Terdahulu, Perdana Menteri melawat Pameran Inovasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEX) di sini hari ini.

Najib berkata insentif kepada SME akan diteruskan.

"SME dan subsidi isu berlainan. Tak (perlu) campur aduk," katanya.

Menjawab satu soalan lain, Najib berkata Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) yang akan dibentangkan nanti akan mengandungi elemen berdasarkan pada Model Baru Ekonomi (MBE).

Ditanya mengenai bantahan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap MBE itu, Najib berkata: "Dia bagi pandangan dia (yang) tertentu. Nanti tunggulah saya buat ucapan dulu (pembentangan RMK-10)." - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan