Umno Permatang Pauh Dakwa Lebih 5,000 Pengundinya Ditukarkan Ke Parlimen Lain

Diterbitkan: Isnin, 31 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Umno Bahagian Permatang Pauh hari ini mendakwa lebih 5,000 pengundi Barisan Nasional (BN) yang berdaftar di kawasan itu telah ditukarkan sebagai pemilih di parlimen lain tanpa pengetahuan mereka.

Ketua Umno Bahagian itu Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata, kegiatan pemindahan pengundi itu disedari sejak dua minggu lepas apabila beberapa pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya membuat semakan daftar pemilih.

"Pengundi terlibat terkejut selepas dimaklumkan bahawa nama mereka telah ditukar ke pusat pengundian Parlimen Batu Kawan sedangkan mereka tidak pernah membuat sebarang pertukaran," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama rakyat di sini.

Beliau berkata, ekoran itu, Umno Bahagian Permatang Pauh telah membuat semakan dan mendapati lebih 5,000 daripada 56,000 pengundi terutama di DUN Seberang Jaya yang merupakan kubu kuat BN telah ditukarkan sebagai pemilih ke kawasan lain.

Katanya, Umno juga sedang mengumpul data, maklumat dan bukti berhubung perkara itu sebelum melaporkannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

Abdul Jalil berkata, terdapat kemungkinan kegiatan pemindahan pengundi itu dilakukan oleh pihak tertentu dan dibantu "orang dalam" bagi memastikan kawasan Parlimen Permatang Pauh terus dikuasai pembangkang.

"Saya percaya perkara ini (pertukaran tempat mengundi) dilakukan orang dalam kerana ia hanya boleh dilakukan oleh mereka dan saya meminta SPR memantau perkara itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPR negeri Morat Pora berkata, SPR akan menyiasat dakwaan Abdul Jalil dan mahukan Umno Bahagian Permatang Pauh menyediakan bukti atas dakwaan itu.

"Adalah tidak mudah untuk SPR memindahkan pengundi dari sesebuah kawasan ke kawasan lain selepas peraturan baru pendaftaran pemilih dilaksanakan sejak 16 Julai 2002 kerana pendaftaran pemilih bagi sesebuah kawasan (dibuat) berdasarkan alamat mengikut kad pengenalan dan maklumat dalam borang pendaftaran pemilih," kata beliau.

Katanya, untuk membuat pemindahan pengundi, seseorang pemilih hendaklah membuat permohonan menerusi borang yang disediakan dan SPR akan membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi pengesahan pertukaran alamat pemilih berkenaan.

"Proses menukar pusat mengundi tidaklah semudah yang disangkakan kerana ia harus dilakukan oleh pemilih itu sendiri dengan mengisi borang dan SPR akan membuat semakan alamat baru pemilih dengan JPN sebelum meluluskan pertukaran," kata beliau.

Bagaimanapun, Morat berkata, kemungkinan yang boleh berlaku ialah semasa pengundi baru membuat pendaftaran sebagai pemilih untuk sesebuah kawasan parlimen tetapi pemilih itu mungkin tidak faham bahawa SPR sebenarnya mendaftarkan mereka sebagai pemilih bagi kawasan parliman dan DUN berdasarkan alamat dalam kad pengenalan.

Katanya sebagai contoh, jika seseorang pemilih baru mendaftar di Lumut, Perak, tetapi alamat dalam kad pengenalannya ialah di Pulau Pinang, maka SPR Perak akan merujuk pendaftarannya kepada SPR Pulau Pinang untuk didaftarkan sebagai pemilih baru bagi kawasan mengikut alamat dalam kad pengenalannya.

"Dalam kes ini, terdapat kemungkinan pengundi baru yang mendaftar di Parlimen Permatang Pauh itu sebenarnya mempunyai alamat di Batu Kawan, oleh itu SPR mendaftarkan mereka sebagai pemilih di Batu Kawan berdasarkan alamat dalam kad pengenalan masing-masing," kata beliau. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan