MBE Bukan Pendirian Muktamad Kerajaan - Najib

Diterbitkan: Ahad, 30 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Model Baru Ekonomi (MBE) masih belum dimuktamadkan kerajaan, sebaliknya ia adalah cadangan daripada pakar-pakar ekonomi supaya pertumbuhan ekonomi negara dapat bersaing hingga ke peringkat global.

Perdana Menteri berkata, MBE adalah satu proses untuk kerajaan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk orang Melayu untuk melaksanakannya.

"Saya harap tidak ada sesiapa yang sangsi dan khuatir bahawa saya tak akan mendengar isi hati orang Melayu. Tak mungkin saya sebagai Presiden Umno tidak mengambil kira kehendak Melayu sebagai majoriti rakyat Malaysia," katanya semasa berucap menutup Kongres Ekonomi Bumiputera: MBE anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini malam tadi.

Beliau berkata, sebagai anak kepada pengasas Dasar Ekonomi Baru iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, tidak mungkin beliau akan mengkhianati perjuangan bapanya.

Katanya, MBE yang bakal dilaksanakan perlulah diterima pasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020.

Najib berkata, beliau juga ingin melihat MBE tidak akan mengetepikan agenda Melayu, malah akan mencari pendekatan yang lebih dinamik dan menjanjikan hasil yang lebih besar.

Beliau yang turut menerima memorandum daripada 126 badan bukan kerajaan yang menganggotai MPM pada majlis itu, berjanji akan memberi ruang kepada MPM untuk berunding mengenai perkara berkenaan.

Perdana Menteri juga berkata, beliau akan memastikan orang Melayu mampu bersaing di peringkat dunia tanpa mengabaikan bangsa lain yang turut berperanan membantu kesejahteraan negara.

"Islam mengajar kita agar berlaku adil bukan hanya kepada sesama sendiri (Islam) tetapi turut perlu berlaku adil kepada bangsa lain.

"Umno mampu bertahan sehingga kini ialah kerana kita berlaku adil kepada bangsa lain," kata Najib. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan