Malaysia Tidak Memerlukan Jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua - Saifuddin

Diterbitkan: Ahad, 30 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata sistem pemerintahan sedia ada telah membuktikan keberkesanannya dengan cemerlang tanpa memerlukan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua.

Katanya Malaysia yang mempunyai kira-kira 27 juta penduduk tidak memerlukan jawatan itu kerana sistem pemerintahan demokrasi berparlimen diterima rakyat pelbagai kaum tanpa masalah.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata demikian kepada pemberita selepas menutup program Majlis Kesukarelawan 'Moh Desa Perwira' Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di Kampung Bangau Parit dekat sini, hari ini.

"Anwar memiliki kerangka pemikiran lama dan bersifat perkauman kerana sanggup mewujudkan satu jawatan khas kepada penyokong Cina dan perkara itu boleh mendorong kaum lain menuntut jawatan yang serupa bagi kaumnya," katanya.

Justeru, beliau berkata rakyat perlu mempertahankan sistem pemerintahan sedia ada tanpa terpengaruh dengan gimik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR)Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba menarik perhatian dan sokongan rakyat terhadap parti pembangkang.

Katanya Anwar sengaja mencipta gimik politik murahan apabila menjanjikan jawatan itu untuk DAP jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana terdesak mahu mendapatkan undi simpati kaum Cina daripada penyokong DAP walaupun ia sukar untuk ditunaikan.

"Rakyat yang semakin bijak dalam menilai senario politik tidak seharusnya tertipu dengan mainan halus Anwar yang sanggup menggadai prinsip dan melakukan apa sahaja termasuk menabur pelbagai janji kepada rakyat," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan