Tun Mahathir Ulangi Pembinaan Jambatan Bengkok Perlu Diteruskan

Diterbitkan: Sabtu, 29 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulangi pendapatnya bahawa kerajaan perlu meneruskan pembinaan jambatan bengkok merentasi Selat Tebrau.

"Ya," merupakan jawapan ringkas beliau terhadap pertanyaan pemberita sama ada beliau masih berpendapat pembinaan jambatan bengkok perlu diteruskan untuk menggantikan Tambak Johor.

Terdahulu pada dialog "Wacana Kepimpinan" di sini, Dr Mahathir berkata pembinaan jambatan bengkok tidak memerlukan persetujuan Singapura kerana keseluruhan jambatan itu terletak di dalam wilayah Malaysia.

"Itu adalah hak kita kerana kita mahu membinanya (jambatan bengkok) di dalam wilayah kita," katanya sambil menambah keadaan berlainan jika kerajaan mahu membina sebuah jambatan lurus bagi menggantikan Tambak Johor.

Pembinaan jambatan lurus memerlukan persetujuan Singapura, tetapi beliau tetap berkeyakinan bahawa republik itu akan mempersetujui pembinaannya kerana ia adalah sesuatu yang baik.

Dr Mahathir berkata semasa menjadi perdana menteri, beliau pernah berunding dengan Singapura untuk membina jambatan lurus menggantikan Tambak Johor tetapi menghentikan rundingan itu selepas dua tahun menunggu jawapan daripada republik tersebut.

Hanya selepas itu katanya, beliau mencadangkan pembinaan jambatan bengkok yang tidak memerlukan persetujuan Singapura.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu berkata, projek pembinaan jambatan bengkok itu dihentikan apabila penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu terus berunding dengan Singapura untuk membina jambatan lurus.

"Saya jadi PM 22 tahun, rundingan dengan Singapura tiada hasil," katanya.

Pembinaan jambatan bengkok yang mempunyai ketinggian 25 meter dari tanah akan membolehkan bot serta kapal kecil belayar dari Timur dan Barat Selat Tebrau buat pertama kali, kata Dr Mahathir. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan