Retorik PKR Lompat Parti DiBayar RM2 Juta, Kontrak Tetapi Tiada Laporan SPRM Dibuat

Diterbitkan: Sabtu, 29 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekalkan sikap retorik mereka dengan masih belum membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemimpin mereka yang lompat parti dibayar RM2 juta dan kontrak oleh pihak tertentu.

Sebaliknya Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pihaknya akan mengambil sikap mendedahkan kepada umum berhubung bayaran dan perjanjian kontrak yang didakwa ditawarkan kepada pemimpin mereka tanpa mengambil inisiatif untuk membuktikannya di mahkamah melalui siasatan SPRM.

"Setakat ini tidak ada. Banyak fail belum disiasat (SPRM). Belum ada laporan dibuat," katanya pada sidang media selepas merasmikan kongres nasional PKR di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut dakwaannya dalam ucapan perasmian pada kongres itu bahawa beberapa pemimpin pakatan pembangkang termasuk PKR yang melompat parti dibayar RM2 juta dan dijanjikan kontrak.

Baru-baru ini, beberapa anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan pembangkang di Kedah disebut-sebut akan meninggalkan parti, antaranya Adun Kulim Lim Soo Nee dari PKR kononnya kecewa dengan kepimpinan PKR dan pakatan pembangkang.

Ketika ditanya pemberita supaya menjelaskan apakah bentuk kontrak yang ditawarkan itu, Dr Wan Azizah berkata pihaknya akan mendedahkan perkara itu dalam masa terdekat.

Pada sidang media yang sama, pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang berkata pakatan pembangkang akan mengadakan satu mesyuarat khas untuk mengkaji dan membincangkan kedudukan pakatan DAP, PAS dan PKR bagi tempoh separuh penggal. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan