Perintah Berkurung Di Bangkok Berakhir Namun Undang-Undang Darurat Kekal

Diterbitkan: Sabtu, 29 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Perintah berkurung yang dikuatkuasakan di Bangkok dan 23 wilayah lain berakhir hari ini serta tidak akan disambung, namun undang-undang darurat di kawasan sama kekal.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva hari ini berkata kerajaaan akan terus memantau situasi keselamatan di wilayah berkenaan dengan menguatkuasakan undang-undang darurat sehinggalah keadaan mengizinkan ia ditarik balik.

Beliau juga berkata laporan autopsi hari ini mendapati empat daripada enam orang yang ditembak mati dalam sebuah tokong di sini semasa askar menggempur penunjuk perasaan antikerajaan pada 19 Mei lepas, ditembak dari kawasan yang rata.

Ia sekali gus menolak kemungkinan bahawa mereka ditembak oleh tentera yang ditempatkan di sebuah stesen skytrain berhadapan tokong itu semasa kejadian.

Bagaimanapun, beliau tidak pula menyatakan dari aras mana dua lagi mangsa ditembak mati.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, Abhisit menafikan bahawa pasukan keselamatan telah melepaskan tembakan rambang ke arah penunjuk perasaan kerana jumlah kematian akan berbeza jika mereka bertindak sedemikian.

Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan orang awam menyerahkan bukti bagi menyokong dakwaan mereka bahawa terdapat beberapa anggota tentera melepaskan tembakan rambang dan akan membenarkan satu inkuiri bebas menyiasat perkara itu serta mengambil tindakan sewajarnya.

Abisit juga tidak menolak kemungkinan mengadakan pilihan raya awal jika tindakan itu mampu menyumbang kepada kestabilan negara dan proses perdamaian.

Perdana Menteri itu juga sanggup bertanggungjawab terhadap kematian 85 orang dan kecederaan 1,400 yang lain bagi tempoh 10 minggu tunjuk perasaan berlangsung, jika inkuiri bebas itu memutuskan beliau bertanggungjawab dalam perkara itu.

"Ia adalah beberapa bulan yang sukar bagi saya. Saya tidak mahu melihat kehilangan nyawa. Keputusan saya berdasarkan kepada apa yang terbaik untuk negara," katanya.

Katanya, beliau hanya mahu memastikan kerajaan mampu menguatkuasakan undang-undang.

Beliau berkata tempoh yang cukup sudah diberikan bagi menyelesaikan perkara itu secara aman, namun gagal.

"Bila kali terakhir anda menyaksikan seorang perdana menteri berunding dengan ketua penunjuk perasaan selama lima jam.

"Bila kali terakhir anda mendengar seorang perdana menteri menawarkan untuk memendekkan tempoh jawatannya selama setahun," katanya ketika menjawab soalan sama ada beliau akan bertanggungjawab bagi tragedi itu dan meletakkan jawatan.

Abhisit berkata beliau tidak bergantung kepada jawatannya untuk kepentingan peribadi dan berazam mewakili golongan majoriti penduduk Thailand.

"Kerajaan tidak boleh dijadikan tebusan oleh kumpulan tertentu yang menggunakan keganasan bagi menjatuhkan kerajaan," katanya ketika merujuk kepada tindakan pengganas bersenjata yang menimbulkan kekacauan dalam negara tersebut.

Abhisit berkata rata-rata penduduk Thailand cintakan keamanan serta menyokong rancangan kerajaan, antara lain untuk proses perdamaian dan meningkatkan pengagihan ekonomi negara.

Beliau berkata itulah sebabnya mengapa kerajaan mengasingkan sekumpulan puak pelampau dan membiarkan mahkamah membicarakan mereka daripada golongan majoriti penduduk Thailand yang ingin melihat pembaharuan di negara tersebut.

Mengenai ekstradisi bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra untuk menghadapi pertuduhan berhubung keganasan, beliau berkata kerajaannya sedang menyediakan dokumen untuk Interpol.

Kerajaaan Thailand mahu pertuduhan itu dikenakan selepas mendakwa Thaksin adalah perancang utama keganasan yang berlaku semasa tunjuk perasaan itu berlangsung dan sesudah ia tamat.

Bagaimanapun, Thaksin menafikannya dan mendakwa ia adalah sesuatu yang bermotif politik selepas beliau dipaksa meletak jawatan menerusi rampasan kuasa pada 2006 dan harta bendanya juga telah dirampas baru-baru ini.

Abhisit mempertahankan kenyataannya bahawa Thaksin telah menjadi penghalang utama bagi mencapai kata sepakat sebelum tindakan keras ketenteraan diambil, begitu juga dengan proses perdamaian kerana beliau (Thaksin) membuat desakan untuk kepentingan peribadi serta enggan mematuhi undang-undang. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan