TERKINI: Vell Paari Umum Lepas Semua Jawatan Dalam MIC Selepas Bapanya Bersara

Diterbitkan: Rabu, 26 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Anak kepada Presiden MIC yang juga ahli jawatankuasa pusat parti itu, S. Vell Paari hari ini mengumumkan bahawa beliau akan melepaskan semua jawatannya dalam parti itu sebaik sahaja bapanya, Datuk Seri S. Samy Vellu bersara dari politik menjelang September 2011.

“Saya bukanlah seorang yang gila kuasa atau jawatan...dan bukanlah menjadi hasrat bapa saya untuk membimbing saya bagi mengambilalih kepimpinan parti ini,” katanya dalam satu temuramah telefon dengan The Star dari Perth, Australia.

Katanya, pihak yang mendesak agar bapanya melepaskan jawatan dengan segera sebenarnya telah ketandusan isu dan terpaksa mengheretnya semata-mata untuk meraih simpati dalam perjuangan mereka.

“Saya boleh beri jaminan ini dalam bentuk hitam putih (bertulis) bahawa saya akan melepaskan semua jawatan saya dalam parti pada hari bapa saya bersara dan hanya akan kekal sebagai ahli biasa sahaja,” katanya lagi.

Samy Vellu telahpun mengumumkan pada 18 Mei lalu bahawa beliau akan melepaskan jawatan presiden parti pada bulan September tahun depan walaupun tempoh perkhidmatannya sebagai presiden hanya akan tamat pada 21 Mei 2012.

Bagaimanapun, Naib Ketua Pemuda MIC Pusat, V.Mugilan dan dua lagi ahli jawatankuasa pusat parti, K.P. Samy dan G. Kumar Aamaan yang mendesak supaya Samy Vellu melepaskan jawatannya sekarang, telah dipecat dari parti itu Sabtu lalu.

Mereka kemudiannya telah mengerakkan kempen apa yang dipanggil Gerakan Anti-Samy Vellu atau GAS yang mana pelancarannya akan dilakukan hujung minggu ini.

Vell Paari juga berkata, beliau akan memberikan kerjasama kepada bakal presiden MIC yang baru.

“Sebenarnya keputusan saya untuk tidak terus memegang sebarang jawatan dalam parti adalah untuk mengelakkan tuduhan mereka yang ingin menaburkan fitnah kononnya Samy Vellu akan terus mengawal MIC menerusi anaknya,” tegas Vell Paari lagi.

Vell Paari, yang merupakan satu-satunya anak lelaki Samy Vellu, turut berkata, niatnya hanyalah untuk meningkatkan kualiti masyarakat India di Malaysia dan memastikan mereka terus maju ke hadapan.

“Itulah sebabnya saya menerima tawaran untuk menduduki kerusi jawatankuasa kerja pusat parti kerana saya memikirkan mungkin saya dapat menyumbang dengan lebih baik jika berada di dalam,” katanya sambil menambah ramai yang memintanya bertanding untuk kerusi itu sejak tahun 2006 lagi malah bagi jawatan naib presiden tahun lalu tetapi menolaknya.

Ini kerana, kata Vell Paari, beliau ingin menumpukan perhatian kepada menyelesaikan isu Maika Holdings dengan segera.

“Saya hanya menerima pelantikan untuk menduduki kerusi CWC bulan lalu selepas isu Maika selesai,” katanya lagi.

Vell Paari juga menegaskan, MIC telah membisu untuk sekian lamanya dan ini telah menyebabkan orang-ramai melihatnya sebagai satu tanda kelemahan.

“MIC telah membuat satu kesilapan besar apabila ia mengabaikan permintaan masyarakat India tetapi sebaliknya terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) atas semangat setiakawan sehinggakan MIC kehilangan hormat dari masyarakat India sendiri.

”Tetapi daripada menghargai kesetiaan kami, MIC telah dikritik dan dipersalahkan di atas kehilangan undi masyarakat India ke atas Barisan,” katanya lagi.

Oleh itu katanya, MIC perlu mendengar keperluan masyarakat India dan mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengatasinya dan jika itu bermakna MIC terpaksa menyinggung perasaan sesetengah pihak dalam Umno, maka MIC perlu melakukannya demi kepentingan masyarakat India.

Tegas Vell Paari, beliau tidak akan berdiam diri dan melihat orang lain memusnahkan MIC yang merupakan pertubuhan masyarakat India yang tertua di negara ini.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan