Kelawat Dikenal Pasti Antara Pembawa Virus Nipah - Penyelidik

Diterbitkan: Rabu, 26 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Para penyelidik telah mengesan kelawar sebagai pembawa virus Nipah dan menjadi hos semula jadi bagi virus tersebut selain nyamuk dan babi, selepas contoh darah unggas itu dianalisis.

Profesor Dr Tan Chong Tin, pakar neurologi Jabatan Perubatan Universiti Malaya berkata, kelawar tersebut bertenggek di pokok dalam kawasan ternakan babi dan memakan buah-buahan ketika buah kelapa sawit di rantau ini berkurangan ekoran fenomena El-Nino dan kebakaran belukar pada 1998.

"Kelawar tersebut kemudian menjatuhkan baki buah yang dimakannya, selain air kencing dan tahi, dan apa yang berlaku seterusnya ialah pekerja ladang itu mengumpulkan buah yang tidak habis dimakan, memberikannya kepada babi, dengan demikian memindahkan virus tersebut daripada kelawar kepada ternakan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk 'Perihal Virus Nipah Encephalitis -Maklumat Kemaskini' di Universiti Perubatan Antarabangsa Malaysia (IMU) di sini hari ini.

Dr Tan dan 15 anggota pasukannya adalah penerima bersama Anugerah Merdeka yang julung kali dianjurkan pada 2008 bagi sumbangan dalam kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi, dengan Prof Datuk Dr Khalid Kadir.

Hadir sama ialah pengarah eksekutif Anugerah Merdeka Datuk Khalid Mohd dan Profesor Farmakologi Timbalan Eksekutif Fakulti Kesihatan dan Perubatan IMU, Prof Peter C.K. Pook.

Anugerah Merdeka diwujudkan pada 2007 untuk menghargai dan memberi ganjaran kepada individu dan pertubuhan yang cemerlang yang mana hasil kerja dan pencapaian mereka bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan negara, tetapi juga memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Anugerah itu juga diberikan kepada mereka yang cemerlang dalam bidang kemasyarakatan dan pendidikan, persekitaran, pencapaian akademik dan melakukan sumbangan besar terhadap rakyat negara ini.

Dr Tan berkata terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa kelawar dari banyak kawasan di dunia, yang menjangkau dari Afrika Barat ke Australia, membawa virus nipah atau virus yang mirip virus nipah.

Kelawar tersebut mampu terbang ke sana ke sini di rantau ini, justeru, kelawar yang sama boleh ditemui di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, selepas dikesan singgah di Malaysia.

Beliau berkata seorang anggota pasukannya, Dr Chua Kaw Bing, pakar virologi, telah mengesan sejumlah virus baru di Pulau Tioman pada 2000, dan Melaka pada 2007, yang menunjukkan bahawa seekor kelawar adalah hos utama virus maut itu yang bila-bila masa boleh menimpa manusia.

Katanya, pengalaman yang diperoleh daripada mengkategori virus nipah, yang sebelum ini tidak ketahui dalam sains, dan membendungnya daripada merebak, adalah penting bagi mempersiapkan Malaysia untuk melawan wabak virus itu pada masa depan.

Ia juga telah membantu menaikkan nama Malaysia di arena antarabangsa dalam bidang perubatan dan virologi, katanya.

Ketika ditanya apakah tahap penyelidikan terhadap virus nipah di Malaysia, beliau berkata terdapat kerja-kerja yang sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Veterinar di bawah Kementerian Pertanian ketika ini.

Beliau juga mencadangkan supaya lebih banyak dana diberikan untuk penyelidikan mengenai virus nipah.

Beliau mengingatkan terdapat kemungkinan virus tersebut kembali ke negara ini dan menjangkiti mereka yang tinggal di kawasan kampung.

"Kita tidak mahu virus tersebut muncul semula di Malaysia dan itulah sebabnya kita perlu membuat lebih banyak penyelidikan mengenai virus maut ini selain kempen kesedaran demi keselamatan orang ramai," katanya.

Pada tahun 1998, lebih 100 orang yang dijangkiti virus nipah meninggal dunia manakala kira-kira 1,700 ternakan babi dihapuskan bagi mengelakkan virus tersebut daripada merebak. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan