Jangan Pandang Ringan Jenayah Siber - Rais

Diterbitkan: Rabu, 26 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEOUL: Malaysia tidak akan memandang ringan terhadap kegiatan jenayah siber kerana mendapati teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)menerusi internet dan jalur lebar mempunyai elemen atau unsur bahaya yang perlu ditangani, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya walaupun protokol internet antarabangsa yang didokong kumpulan tertentu menegaskan agar internet jangan disekat, dibimbing atau ditapis, Malaysia tetap berpendirian bahawa jenayah siber bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.

"Jangan ambil ringan tentang cabaran keselamatan dalam internet dan jalur lebar walaupun masa yang sama kita tertarik dengan aspek-aspek pembangunan, hiburan dan data-data yang boleh disampaikan oleh rejim itu," katanya kepada wartawan Malaysia ketika menghadiri Sidang Kemuncak Maklumat dan Komunikasi Sedunia 2010 di sini.

"Kita kena fikir, ICT melalui internet, jalur lebar ini mempunyai beberapa elemen atau unsur bahaya, yakni sekurang-kurangnya kita kena berhadapan untuk membuang dan membasmi perjudian, pornografi kanak-kanak dan perkara yang menyalahi undang-undang hasutan termasuk keselamatan negara," katanya.

Rais yang mengemukakan pandangan Malaysia bahawa jenayah siber perlu diperangi atau diatasi bersama di WICS 2010 itu berkata ia telah mendapat sambutan daripada beberapa pemimpin dan wakil negara yang mengambil bahagian ke persidangan itu.

"Kita akan cuba mempelajari daripada pihak-pihak ini bagaimana kita perlu laksanakan dalam rejim (internet dan jalur lebar) di negara masing-masing," katanya.

Isu jenayah siber mungkin belum lagi penting kepada negara tertentu yang masih dalam peringkat menyelaraskan khidmat internet dan jalur lebar di negara masing-masing tetapi bagi Malaysia soal-soal seperti penipuan, hasutan dan keselamatan perlu dihadapi sebagai cabaran nasional, katanya.

Beliau berkata peruntukan undang-undang Malaysia seperti Akta Perlindungan Data Peribadi adalah antara skim untuk memberi keselamatan kepada negara.

Rais berkata pada WISC itu, beliau turut berkongsi pengalaman dan pandangan dengan peserta mengenai keperluan ICT dan industri jalur lebar dibawa ke tahap pemakaian dan kehidupan seharian supaya masyarakat boleh mendapat manfaat.

Persidangan dua hari WICS 2010 anjuran Suruhanhaya Komunikasi Korea bermula Selasa yang dihadiri menteri, timbalan menteri dan pemimpin dari kira-kira sembilan negara bertujuan memperkukuhkan kerjasama dan membina masa depan yang lestari dengan berkongsi pengalaman dan visi negara peserta dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menurut Rais, pada persidangan WISC itu, Indonesia mengemukakan pendapat bagaimana untuk merapatkan masyarakatnya melalui ICT manakala Mongolia pula menyatakan bagaimana setengah juta penduduknya tidak dapat dihubungi melalui ICT. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan