Hapuskan Subsidi Secara Sistematik - FOMCA

Diterbitkan: Rabu, 26 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan menghapuskan pelbagai bentuk subsidi secara sistematik memandangkan ia "pembaziran" besar dan tidak memanfaat kumpulan sasaran.

Setiausaha agungnya, Muhammad Shaani Abdullah berkata, wang yang dijimatkan dari subsidi ini boleh disalurkan kepada projek lebih bermanfaat bagi faedah rakyat. Beliau menyentuh isu gula sebagai contoh.

"Subsidinya ialah RM3 sebulan berasaskan penggunaan purata tiga kilogram sebulan bagi setiap keluarga. Dengan enam juta keluarga dalam negara, ini menjadikan jumlah RM18 juta sebulan atau RM216 juta setahun, tetapi subsidi itu kini naik melambung ke RM1 bilion setahun.

"Selebihnya adalah pembaziran dalam erti ia disalurkan kepada pekilang besar dan warga asing.

"Pembaziran serupa dikesan pada produk makanan lain dan subsidi minyak," kata beliau.

Selain menghapuskan subsidi, katanya, kerajaan hendaklah juga menentukan dana pembangunan digunakan dengan betul dan berkesan.

Cuepacs, bagaimanapun, meminta kerajaan agar berhati-hati bila menghapus subsidi oleh kerana ini menjejas kakitangan awam berpendapatan rendah.

Setiausaha agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin berkata, kerajaan perlu menentukan golongan miskin tidak terbeban akibat harga yang tinggi, terutama bahan-bahan keperluan utama. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan