Tuduhan Anak Samy Vellu Terhadap Umno Adalah Biadap - Muhyiddin

Diterbitkan: Selasa, 25 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh S.Vell Paari, anak Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu, kononnya Umno menjadi punca kepada masalah dalam MIC, sebagai sesuatu yang biadap.

Timbalan Perdana Menteri menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan meminta Vell Paari supaya menghentikan tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.

"Umno ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan oleh anak Samy Vellu itu. Ia adalah sesuatu yang biadap," katanya ketika ditanya mengenai tuduhan yang dibuat oleh Vell Paari terhadap Umno menerusi sebuah laman web Free Malaysia Today.

Dalam laman web itu, Vell Paari mendakwa Umno menggunakan pendekatan "pembunuhan politik" untuk memecahbelahkan MIC.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan guru-guru daerah Muar dan Ledang di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.

Muhyiddin juga meminta Samy Vellu supaya menasihatkan anaknya supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan sensitiviti parti-parti komponen BN yang lain.

"Samy Vellu boleh nasihatkan anaknya," kata Timbalan Perdana Menteri.

Katanya Vell Paari merupakan seseorang yang mempunyai kepentingan dalam kemelut dalaman MIC kerana beliau merupakan anak kepada parti itu.

Apa pun, kata Muhyiddin, beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun mengeluarkan kenyataan yang mahu melihat kemelut dalaman MIC itu diselesaikan dengan secepat mungkin.

Bagaimanapun, katanya, sebarang penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku dalam parti itu mestilah berdasarkan kepada dasar keadilan dan ketelusan.

"Sebagai pemimpin dalam mana-mana parti komponen BN, tidak kira mana parti sekalipun, sebarang permasalahan dalam parti mestilah diselesaikan secara adil dan saksama," katanya.

Muhyiddin berkata sebarang usaha untuk menyelesaikan permasalahan dalam parti mestilah mengikut perlembagaan dan prosedur parti.

"Sebagaimana yang dilakukan oleh kita di dalam Umno, jika kita terpaksa bertindak memecat seseorang daripada parti, ia mestilah berdasarkan prosedur dan peraturan yang sedia ada dalam parti," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata setiap parti komponen BN perlu menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan segera supaya kedudukan BN yang semakin kukuh kini di bawah pentadbiran Najib dapat diteruskan.

Mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tentang masalah disiplin yang serius di sebuah sekolah di Rawang, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata pihaknya telah mengarahkan agar satu siasatan dijalankan.

Jika masalah itu melibatkan disiplin pelajar, katanya, kementerian mempunyai bentuk tindakan yang boleh diambil, tetapi jika ia membabitkan undang-undang, maka polis akan diminta supaya menjalankan siasatan.

"Apapun untuk adil kepada semua pihak, siasatan perlu dilakukan," katanya.

Di PUTRAJAYA, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata tuduhan Vell Paari tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia sangat tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, telah wujud satu trend di kalangan parti komponen BN untuk meletakkan kesalahan kepada pemimpin kerajaan apabila timbul sesuatu masalah dalam parti mereka.

"Mereka cenderung untuk menutup kelemahan serta kesalahan sendiri dengan menyalahkan pemimpin kerajaan yang dipimpin oleh BN. Dalam hal ini pemimpin MIC langsung tidak mahu mengakui kelemahan mereka sebaliknya menuding jari kepada pihak lain," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Rosnah, dakwaan Vell Paari bahawa ketidaksamarataan adalah punca BN kehilangan undi kaum Cina dan India semasa pilihan raya juga sangat tidak berasas.

"Perkembangan terbaru dalam MIC ini menunjukkan sikap 'ala diktator' pemimpin parti itu yang langsung tidak boleh ditegur dan memecat sesiapa sahaja yang berbuat demikian.

"Mana-mana pemimpin yang mempunyai sikap seperti ini sepatutnya meletakkan jawatan dan berundur segera dari parti kerana pemimpin yang berkredibiliti sepatutnya tidak cepat melatah dan bersikap profesional dalam menerima kritikan atau teguran," katanya.

Katanya Vell Paari, harus meminta maaf atas tuduhan tersebut sekaligus berhenti menuduh mana-mana pihak secara sembrono semata-mata untuk mempertahankan tindakan bapanya, Samy Vellu, dalam memecat anggota Jawatankuasa Pusat parti itu kerana mendesak beliau untuk meletakkan jawatan.

"Sudah tiba masanya parti komponen BN yang bermasalah bermuhasabah dan menilai prestasi masing-masing untuk memperbaiki kelemahan yang ada, bukannya menyalahkan pihak lain atas masalah yang dihadapi," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan