SPRM Dicadang Wujudkan Bilik Khas Dengan CCTV Untuk Saksi

Diterbitkan: Selasa, 25 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dicadangkan supaya mewujudkan bilik khas bagi pemeriksaan saksi dan rakaman pernyataan, yang mempunyai kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV), supaya proses siasatan dapat dijalankan dengan lebih selesa.

SPRM juga perlu mengenal pasti dan menggariskan kriteria tertentu bagi menetapkan keperluan siasatan dari segi penetapan masa, keselesaan saksi dan pegawai tanpa memudaratkan siasatan.

Cadangan penambahbaikan itu adalah antara lapan cadangan yang terdapat dalam laporan pemeriksaan prosedur siasatan berkaitan kes kematian Teoh Beng Hock, oleh Jawatankuasa Aduan SPRM yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah.

Jawatankuasa Aduan itu ditubuhkan untuk memantau pengendalian aduan berhubung perbuatan salah laku yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai SPRM, serta mengenal pasti kelemahan dalam tatacara kerja SPRM yang mungkin menimbulkan aduan, dan membuat cadangan mengenai tatacara kerja jika difikirkan patut dan sesuai.

Jawatankuasa yang ditubuhkan sejak Februari tahun lalu itu turut dianggotai bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Muhammad Mohd Noor, bekas Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Peguamcara dan Peguambela dari Tetuan Chooi & Co.

Chooi Mun Sou serta Peguamcara dan Peguambela dari V.M. Ravi & Associates V. Ravindran.

Laporan tersebut turut mencadangkan agar proses siasatan mengambil kira faktor kesihatan, keselesaan dan keselamatan saksi serta tanggungjawab pegawai terhadap saksi tersebut sehingga saksi meninggalkan premis SPRM.

SPRM juga perlu membangunkan aspek keselamatan fizikal seperti kelengkapan pagar, pemasangan jeriji, pengawal keselamatan dan kelengkapan CCTV bagi menjamin keselamatan pejabatnya, selain menambah peralatan dan keperluan logistik dari segi kemudahan komputer sehingga cadangan pembinaan kompleks SPRM bagi menjamin aspek keselesaan, keselamatan dan kerahsiaan.

Selain itu, SPRM disaran agar memperbaiki kelemahan dan mengemaskini Perintah-Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya mengenai prosedur mengendalikan saksi dan merakam pernyataan sesuai dengan keperluan siasatan, serta menyemak, mengkaji dan mengadaptasi prosedur pemeriksaan saksi dari agensi penguatkuasaan undang-undang luar negara seperti Hong Kong.

SPRM juga perlu mengadakan kursus komprehensif dan latihan intensif kepada pegawai bagi membentuk kemahiran dan kepakaran dalam pelaksanaan siasatan, menurut laporan itu.

Laporan itu diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, bersama-sama dengan Laporan Tahunan Jawatankuasa Aduan SPRM 2009, di sini hari ini.

Pemeriksaan prosedur siasatan yang dijalankan sejak Julai tahun lalu itu turut menetapkan lapan terma rujukan iaitu menyemak sama ada SPRM mempunyai garis panduan mengenai aspek mengendalikan saksi dan merakam pernyataan, serta memutuskan sama ada pegawai telah mematuhi garis panduan mengendalikan saksi dan merakam pernyataan dalam kes tersebut.

Ia juga menyemak sama ada SPRM mempunyai garis panduan dalam melaksanakan pemeriksaan saksi (soal siasat), menyemak sama ada undang-undang membenarkan pegawai memeriksa dan mencatatkan jawapan saksi sebelum proses sebenar merakam pernyataan, serta menilai keterdesakan siasatan dalam merakam pernyataan saksi sehingga lewat pagi.

Ia turut menentukan sama ada saksi yang mendapat kebenaran balik ke rumah tetapi memilih untuk berada di premis SPRM masih dalam tanggungjawab SPRM, menilai tahap keselesaan saksi menjalani proses siasatan di premis SPRM serta menyemak kelengkapan logistik dan menilai tahap keselamatan fizikal premis SPRM.

Dalam sidang berita selepas majlis penyerahan itu, Mohd Noor enggan mengulas lanjut mengenai laporan pemeriksaan siasatan tersebut, bagi menghormati inkues kes kematian Teoh yang sedang berjalan pada waktu ini.

Teoh, 30, yang merupakan setiausaha politik kepada anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri di pejabat SPRM Selangor di bangunan yang sama. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan