Pertemuan Najib, Lee Buka Lembaran Baru Hubungan Malaysia-Singapura

Diterbitkan: Selasa, 25 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Adakah hubungan Malaysia-Singapura yang dianggap begitu hambar sejak sekian lama, kini kembali bertenaga dan mencapai tahap yang menceriakan?

Atau adakah laluan baru kini sudah terbuka bagi kedua-dua negara berjiran ini untuk meningkatkan hubungan mereka ke tahap lebih bermakna, termasuk dalam bidang kerjasama ekonomi dan perniagaan?

Biar apapun tanggapan orang, namun perjumpaan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatan beliau Lee Hsien Loong dari Singapura semalam memperlihatkan tanda-tanda bahawa hubungan yang agak dingin antara kedua-dua negara sebelum ini, kini bakal memasuki fasa baru yang lebih memberangsangkan.

Semasa pemukiman mereka di sebuah hotel lima bintang yang dikelilingi pepohon menghijau serta jauh dari kesibukan kota di sini semalam, kedua-dua pemimpin itu dengan penuh santai dan mesra berbicara tentang masalah mereka.

Tiada siapa yang mengharapkan pertemuan antara Najib dan Lee itu akan membuahkan hasil yang mengagumkan memandangkan pemimpin sebelum mereka juga tidak berupaya menyelesaikan kebanyakan pertikaian yang telah sejak sekian lama menghantui hubungan antara kedua-dua negara, walaupun telah beberapa kali mengadakan perbincangan dan permukiman.

Bagaimanapun, kebanyakan orang mungkin tersentak apabila dua perdana menteri muda itu berjaya menyelesaikan banyak isu sensitif yang mengekang hubungan kedua-dua negara sejak 20 tahun lepas.

Mereka telah berjaya menyelesaikan isu yang menduduki tangga teratas dalam agenda pertemuan mereka - Butir-butir Perjanjian (PoA) berkaitan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Singapura yang ditandatangani antara bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew dan bekas Menteri Kewangan Malaysia Tun Daim Zainuddin pada 27 November 1990.

Mereka berjaya mengetepikan rintangan yang wujud dalam PoA itu, yang gagal diatasi pemimpin sebelum mereka sejak sekian lama, dalam masa tidak sampai setahun selepas Najib berkunjung ke Singapura sebagai perdana menteri atau lebih tepat lagi, dalam masa separuh hari semasa permukiman mereka semalam.

Berdasarkan komen mereka semalam, Najib dan Lee jelas menampakkan kesungguhan mereka untuk menyelesaikan pertikaian yang wujud sebelum ini dengan seberapa segera yang mungkin dan seterusnya meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Najib berkata mereka bertekad untuk tidak membiarkan isu yang tertangguh sejak sekian lama ini menjadi rintangan dalam usaha memupuk dan memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura dan kedua-dua negara perlu meneroka bidang-bidang yang memungkinkan mereka mencapai kata sepakat.

Lee berkata: “Kalau perkara ini tidak boleh diatasi, bagaimana hendak berunding tentang perkara baru? Kami telah berjaya menyelesaikan perkara ini dan kini membincangkan perkara baru pula."

Hari ini, media Singapura memberi liputan meluas tentang hasil yang dicapai pada pertemuan dua pemimpin itu serta memuji Najib dan Lee kerana berjaya menamatkan pertikaian yang wujud antara kedua-dua negara sejak sekian lama secara positif.

“Duri besar yang wujud dalam hubungan Singapura-Malaysia telah berjaya dibuang semalam," kata Straits Times dalam berita utamanya hari ini bagi merujuk kepada hasil yang dicapai dalam pertemuan antara Najib dan Lee itu.

The Business Times pula menyiarkan tajuk berita yang memetik kata-kata Najib: “Malaysia, Singapura melihat cahaya di hujung terowong”.

Beritanya bermula dengan menyebut: “Kebanyakan pertikaian yang menghantui hubungan Singapura-Malaysia sejak lebih 20 tahun lepas kini berjaya diselesaikan dan ini sesuatu yang sungguh mengejutkan”. Semua akhbar utama di republik ini menyiarkan di muka depan masing-masing pencapaian bersejarah yang terhasil daripada permukiman dua pemimpin itu.

Akhbar Berita Harian menyiarkan berita tentang perjumpaan bersejarah itu dengan menggunakan tajuk “Kemajuan bersejarah perjanjian Singapura-Malaysia”.

Pada perjumpaan mereka semalam, Najib dan Lee bukan saja berjaya menyelesaikan masalah berkaitan PoA berkenaan, tetapi juga meneroka lebih banyak inisiatif ke arah meningkatkan hubungan perdagangan dan hubungan rakyat dengan rakyat melalui peraturan perjalanan yang lebih memudahkan warga kedua-dua negara.

Antara keputusan penting yang dibuat ialah pemindahan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar yang telah berusia 78 tahun ke Woodlands dan bukan ke Bukit Timah menjelang Julai thun depan, pembinaan sistem transit deras yang menghubungkan Johor dan Singapura menjelang 2018 dan pembangunan secara bersama projek bandar sejahtera di Iskandar Malaysia dan di kawasan tanah KTMB.

Bekas Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia K.Kesavapany berkata beliau yakin persetujuan yang dicapai antara Singapura dan Malaysia itu akan merintis jalan ke arah wujudnya hubungan lebih akrab serta membuahkan hasil yang lebih konkrit. Najib dan Lee menyedari tentang pentingnya mereka mengamalkan pendekatan yang boleh menjana keuntungan bagi kedua-dua negara, kata beliau yang dipetik oleh media tempatan.

“Oleh itu, perkembangan ini amat dialu-alukan kerana ia telah membuang duri yang mengganggu perjalanan dan cara ia diselesaikan juga adalah unik. “Ia diselesaikan secara senyap, jauh daripada tontonan media dan sebarang kesibukan pihak lain, bukan secara heboh dan terbuka dan dengan itu kita berjaya mencapai keputusan yang memuaskan seperti yang diumumkan oleh kedua-dua perdana menteri," kata beliau.

Kesavapany berkata pencapaian itu juga baik bagi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang dianggotai 10 negara.

"Perkara paling penting ialah kita dapat dapat memandang ke hadapan, lebih-lebih lagi ketika ASEAN cuba untuk bersatu sebagai satu komuniti dan Singapura serta Malaysia boleh memainkan peranan utama dalam pembentukan komuniti ini," kata beliau.

Bagi Najib, hasil yang dicapai pada permukiman itu memberi isyarat positif kepada sektor swasta dan rakyat kedua-dua negara untuk menjalin kerjasama yang lebih erat.

“Kalau anda sedang mencari isyarat positif, inilah dia," kata beliau sambil menambah bahawa kini adalah masa bagi kedua-dua pihak untuk meningkatkan penyertaan dalam bidang pelaburan, pendidikan, perdagangan dan menjalin kerjasama lebih erat.

Hasil yang dicapai pada permukiman dua pemimpin itu juga mencetuskan perasaan ceria dalam kalangan penduduk tempatan, terutama mereka yang tinggal di kawasan Woodlands.

Media tempatan melaporkan bahawa pemindahan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar ke Woodlands akan menghidupkan perniagaan di kawasan kejiranan yang suram di Woodlands Centre Road selama ini.

Penduduk dan peniaga di Woodlands kini tidak sabar menunggu wujudnya stesen kereta api di kawasan kejiranan mereka bagi menghidupkan kembali kawasan itu. – BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan