Pemilik Rumah Dinasihatkan Pasang Jeriji - Jabatan Bomba

Diterbitkan: Isnin, 24 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan memasang jeriji yang betul dan selamat di kediaman masing-masing demi menjaga keselamatan penghuni khususnya kanak-kanak.

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Zaidi Wan Isa berkata, pemilik rumah digalakkan memilih jenis jeriji yang sesuai sebelum membuat keputusan memasang alat tambahan itu.

Beliau menyarankan supaya mereka memilih jeriji yang dapat dibuka dengan mudah dari bahagian dalam sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau kejadian yang tidak diingini.

"Sekarang ini ada banyak jenis jeriji yang ditawarkan. Ada yang boleh dikunci menggunakan mangga kecil sahaja dan ada juga kaedah mudah lain jika berlaku kecemasan. Jeriji ini tiada masalah kalau dipasang.

"Yang kita tak galakkan ialah jeriji yang langsung tidak boleh dibuka, baik dari dalam mahu pun dari luar," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes bayi berumur sembilan bulan yang maut akibat terjatuh dari tingkap bilik tidur rumah keluarganya di Tingkat 3 Kuarters Pendidikan Seafield, USJ, Subang Jaya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, Adam Haiqal Mohd Rostam terjatuh dari tingkap bilik yang tidak mempunyai jeriji ketika ibu bapanya sedang nyenyak tidur.

Pada 8 Mac lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terbunuh selepas terjatuh dari tingkat 15 rumahnya di Apartmen Plaza Prima, Kepong.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa Monalisa Khder terjatuh dari tingkap biliknya lalu menghempap sebuah kereta Toyota Vios sebelum terhempas di atas jalan.

Dia yang cedera parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang di sini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Zaidi memberitahu, pemasangan jeriji di rumah-rumah dan kediaman jenis bertingkat mempunyai kebaikan serta keburukannya.

"Dari segi keselamatan, misalnya untuk mencegah pencuri daripada memasuki rumah, pemasangan jeriji memang banyak membantu mengurangkan risiko kecurian.

"Begitu jugalah dari segi keselamatan bayi dan kanak-kanak. Tanpa jeriji mereka mungkin boleh terjatuh sama ada secara sengaja atau tidak sengaja seperti kes semalam," katanya.

Namun, sekiranya berlaku kebakaran, pemasangan jeriji dilihat menyukarkan pihak bomba untuk menjalankan usaha menyelamat. Dalam konteks itu, tindakan memasang jeriji kekal tidak digalakkan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan